Pasukan Kelab Bola Sepak Kuching City kini boleh bernafas sedikit lega selepas berjaya melakar kemenangan kedua malam tadi.

Kemenangan tersebut dicipta ke atas pasukan simpanan Perak FC, Perak II.

Menariknya, kemenangan tersebut dilakar dengan Kuching City tidak menurunkan penyerang importnya, Bryan Jones, yang juga tidak tersenarai langsung di bangku simpanan kelab tersebut.

Ketua jurulatih Kuching City, Irfan Bakti, juga telah merehatkan pemain utama , Joseph Kalang Tie, yang bermula di bangku simpanan.

Dalam perlawanan malam tadi, Kuching City bermula aggresif, dan bertindak terus menyerang seawal wisel permulaan namun buntu untuk menjaringkan gol sehingga berakhirnya babak pertama.

Pada babak kedua, Kuching City meneruskan aksi menarik mereka dan Alif Hassan akhirnya berjaya memecah kebuntuan dengan jaringan pada minit ke-56 melalui sepakan percuma.

Kuching City terus mengasak untuk mencari gol tambahan, dan akhirnya, pemain gantian, Joseph, memastikan Perak II tidak lagi mampu bangkit dalam perlawanan terebut melalui satu jaringan pada minit – minit terakhir perlawanan.

Kemenangan Kuching City mengangkat kelab tersebut ke kedudukan ke-8 dalam Liga Premier, dan sudah pasti melegakan semua peminat bola sepak kelab tersebut yang risau akan prestasi kurang baik kelab tersebut sejak kebelakangan ini.