Bagai ditakdirkan, hasrat Bryan Jones Anicezio untuk terus berbakti dengan Kuching City kini menjadi kenyataan selepas Kuching City FC dilaporkan telah bersetuju mengambil kembali pemain import tersebut.
Menurut laporan akhbar tempatan, Jones akan menyertai pasukan yang dibimbing Irfan Bakti sebaik sahaja selesai kuarantin 14 hari kelak.
Jones, yang memberi impak segera kepada Kuching City apabila dibawa masuk musim lepas, akan mengisi slot pemain import yang ditinggalkan Leonardo Alves.
Alves yang sepatutnya menyarung jersi Kuching City terpaksa digugurkan oleh kelab tersebut selepas mendapat kecederaan jangka panjang di lutut kanannya.
Pengarah Kuching City, Fazzrudin Abdul Rahman, telah dilaporkan oleh akhbar termpatan sebagai berkata bahawa Bryan seharusnya tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan pemain lain di kelabnya kerana pemain Brazil tersebut telah bermain dengan kelabnya pada musim lepas.
Jones yang berumur 31 tahun itu digemari oleh peminat bola sepak Kuching dan kehadiran semula beliau sudah pasti akan disambut gembira oleh semua peminat yang mahu melihat kelincahan beliau membantu Kuching sekali lagi musim ini.