Sebelum anda mencemuh kami, bacalah dahulu artikel ringkas ini.
Bukan maksud kami untuk menyindir atau memperkecilkan sesiapa tetapi ini lebih kepada pengamatan dan fakta yang kami ingat dan tahu.
SEJARAH SARAWAK FA
Ingat tak apabila Sarawak FA gagal mempamerkan aksi terbaik di dalam Liga Super biarpun di bawah kendalian jurulatih terkenal K Rajagobal?
Sarawak FA pada ketika itu seperti satu kapal yang semakin tenggelam selepas setiap perlawanan dengan dasar liga sebagai destinasi akhir.
Pada ketika itu, langkah drastik diambil oleh pihak Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) untuk merehatkan Rajagobal dan melantik David Usop sebagai Ketua Jurulatih interim baharu Sarawak FA.
David memulakan kempen dengan kemenangan di atas Perak dan berjaya menyelamatkan Sarawak FA dari penyingkiran ke Liga Premier.
FAS di bawah kepimpinan Datu Sudarsono kemudiannya mengambil keputusan melantik David sebagai ketua jurulatih baharu pada musim berikutnya.
Dengan kuasa yang ada, David telah membawa masuk pemain-pemain yang beliau rasakan berupaya membentuk pasukan Sarawak FA, namun beberapa siri keputusan yang kurang memberangsangkan apabila musim bermula menyaksikan David kemudiannya mengundur diri.
PERSAMAAN DENGAN UNITED
Situasi ini hampir serupa bagi peminat Liga Perdana Inggeris (EPL), terutama sekali yang mengikuti kelab bolasepak Manchester United.
United pada musim lepas mengalami nasib yang merundum di bawah Jose Mourinho, dan Ole Gunnar Solskjær telah dilantik menggantikan tempat Mourinho buat sementara.
Di bawah Solskjaer, United mula memenangi perlawanan dan pihak pengurusan United akhirnya membuat keputusan untuk melantik Solskjaer ke jawatan pengurus penuh.
Kini, Manchester United sedang bergelut di dalam EPL, dan biarpun pasukan tersebut bukan dalam kategori bawahan liga, kedudukan Solskjaer di United semakin ibarat di hujung tanduk dengan keputusan-keputusan yang kurang memberangsangkan.
Di sini kita dapat lihat persamaan dua pasukan yang kita ikuti, dimana boleh dikatakan United telah ‘meniru’ Sarawak FA.
Ya, memang kami tahu ianya bukan disengajakan atau berkemungkinan satu kebetulan, namun itulah bola sepak.
FIKIR-FIKIRKAN
Sehebat manapun kita rasa kita ‘hebat mengelecek dan mengawal bola’, hadir persamaan antara cara kita dengan pasukan lain di dunia ini terutama sekali dalam bola sepak.
Ianya bukan meniru, tetapi ianya merupakan peluang untuk belajar dari kesilapan dan kehebatan sesuatu pasukan lain.
Persoalannya adalah, adakah kita akan belajar dari kesilapan/kejayaan pasukan yang lain dan membuat pembaharuan kepada kaedah dan cara kita menyelesaikan masalah kita agar kita lebih berjaya dalam mendapatkan hasilnya?, atau
adakah kita akan meniru sahaja apa yang sudah dibuat pasukan lain secara buta dengan harapan keputusan yang kita hasilkan akan berlainan?
Apa-apa pilihan anda, fikirkan.