Pendapat: 5 sebab kenapa tidak sesuai menamakan Stadium Negeri sempena Tok Nan

Sememangnya, seluruh rakyat Sarawak amat sedih di atas pemergian Allahyarham Tan Sri Adenan Satem. Terkenal dengan laungan Ouhh Haaa!, Tan Sri Adenan merupakan salah seorang peminat bolasepak di Sarawak, yang acap kali datang menyaksikan perlawanan bolasepak pasukan Sarawak ketika beliau belum lagi menjadi Ketua Menteri Sarawak.

Kini, dengan pemergian beliau, telah ada cadangan bahawa Stadium Negeri, laman utama pasukan Bujang Senang, dinamakan sempena beliau bagi menghargai pengorbanan Tan Sri Adenan.

Tetapi, bagi kami, ianya tidak bertepatan.

Pertama, kerana Stadium Negeri merupakan struktur lama. Ianya adalah lambang zaman kegemilangan bolasepak Sarawak pada era 90-an, yang kian dimakan usia, menanti hari untuk dinaik taraf. Walaupun niat untuk menamakan stadium tersebut sempena Allahyarham Tan Sri Adenan Satem adalah baik, namun Stadium Negeri mempunyai sejarah tersendiri seperti juga Stadium Merdeka di Kuala Lumpur. Menamakan Stadium Negeri kepada satu nama baharu akan secara tidak langsung menidakkan sejarah lampau yang telah berlaku di stadium tersebut, yang mana menyaksikan revolusi bolasepak Sarawak berlaku pada era 90-an.

Keduanya, bolasepak Sarawak, dan Malaysia secara ummum, kini sedang di dalam tempoh pembangunan semula. Walaupun Sarawak memenangi Liga Premier pada tahun 2013, namun dengan penswastaan pasukan dan Liga Malaysia, berkemungkinan Stadium Negeri akan dimiliki sebuah kelab bolasepak pada masa hadapan. Ini bermaksud, Stadium Negeri mungkin akan menjadi hak esklusif kelab tersebut, sekaligus menyaksikan faktor kewangan turut mempengaruhi nama dan juga pembangunan stadium tersebut, seperti mana juga stadium-stadium di Eropah yang dinamakan sempena penaja pasukan bolasepak. Jika ini berlaku, nama Tok Nan mungkin akan diganti.

Ketiga, walaupun Stadium Negeri mempunyai nama ‘Sarawak’, namun tidak semua warga Sarawak pernah ke stadium tersebut kerana ianya terletak di Kuching sekaligus menggambarkan bahawa stadium tersebut tidak selari dengan harapan Tok Nan sendiri yang sentiasa mahu mendekatkan diri dengan rakyat jelata.

Keempat, adalah tidak adil bagi kita memberi penghargaan kepada Tok Nan dengan menamakan stadium yang lebih kecil sempena beliau kerana hanya beberapa ratus meter daripada stadium tersebut, terletak sebuah lagi stadium yang lebih gah, yakni Stadium Sarawak. Jika kita mahu menamakan sebuah stadium sempena Tok Nan, mungkin lebih baik Stadium Sarawak dipilih kerana ianya lebih mengambarkan kebesaran sumbangan Tok Nan kepada Sarawak.

Kelima, sumbangan Tok Nan di dalam bidang sukan melangkaui bidang sukan bolasepak, jadi adalah lebih baik sesuatu yang inklusif kepada semua sukan patut dinamakan sempena beliau, seperti kompleks sukan. Ini adalah sesuai kerana Tok Nan tidak mahu menjadi Ketua Menteri hanya seorang dua, tetapi mahu menjadi Ketua Menteri semua, dan legasi beliau seharusnya diteruskan sedemikian.

Jika tidak berkaitan sukan, rasanya adalah terbaik jika Lebuhraya Pan Borneo dinamakan sempena beliau. 

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top