Sungguhpun Sabah FA sudah sah bergelar juara Liga Premier, kumpulan penyokong tegar pasukan tersebut yang tata-rata terdiri daripada ultras dan kumpulan penyokong setia pasukan Sabah FA, akan masih meneruskan boikot terhadap perlawanan Sabah di Stadium Likas.

Adalah difahamkan bahawa boikot perlawanan tersebut akan diteruskan biarpun perlawanan Sabah menentang Kelantan FA kelak bakal digunakan sebagai majlis penyerahan piala Liga Premier.

SarawakCrocs Fantasy Premier League 2019/20

Jika boikot tersebut berkesan, Stadium Likas mungkin tidak akan mencapai kapasiti biarpun perlawanan menentang Kelantan kelak adalah satu detik bersejarah di dalam bola sepak Sabah.

Kami difahamkan melalui komen-komen di media sosial bahawa pihak peminat tegar pasukan Sabah tetap belum berpuas hati dengan tindakan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) yang mereka sifatkan sebagai mengetepikan tradisi pasukan Sabah dan lebih bersifat “kuku besi” terhadap penyokong.

Ini sekaligus menyaksikan mereka mahu meneruskan boikot tersebut biarpun Sabah akan secara sah mengangkat kejuaraan Liga Premier Sabtu ini.

Antara ayat yang digunakan bagi menggambarkan kewujudan boikot itu adalah “LIKAS OFF, LIKAS KOSONG” dan “BOIKOT ON”.

Usaha peminat tegar bolasepak Sabah ini telah menyaksikan mereka hanya turun pada perlawanan di luar Sabah, termasuk kehadiran mereka ke Stadium Negeri semasa Borneo Derby.

Sungguhpun demikian, ada di antara peminat Sabah mahukan boikot yang telah berlangsung selama hampir satu musim ini ditamatkan dengan alasan peminat harus meraikan tamatnya penantian piala selama 23 tahun Sabah.

Situasi tegang di antara SAFA dan penyokong tegar bolasepak Sabah bermula awal tahun ini tadi berikutan tindakan SAFA menghalang penggunaan gendang, dan mengharamkan sepanduk yang mempamerkan gambar dan ilustrasi Badak.

Peminat juga tidak berpuas hati dengan tindakan SAFA menukar maskot Sabah kepada Tembadau, dan menggantikan warna jersi tradisi Sabah dengan putih.

Baru-baru ini, peminat tegar bolasepak Sabah juga telah melahirkan rasa malu apabila seorang pegawai SAFA menuduh gendang mengganggu konsentrasi dan komunikasi pegawai dan pemain semasa perlawanan, sekaligus memudaratkan lagi hubungan SAFA dan peminat tegar Sabah.

Dalam pada itu, jumlah penonton yang hadir di Likas Sabtu ini adalah sesuatu yang menarik untuk diperhatikam kelak.