Menteri Sukan, Pelancongan dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah telah menyangkal dakwaan satu kumpulan penyokong bolasepak Sarawak bahawa kerajaan Sarawak tidak membantu Persatuan Bolasepak Sarawal (FAS). Beliau dipetik berkata demikian di dalam akhbar New Sarawak Tribune.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan Sarawak sentiasa membantu di dalam pembangunan bolasepak Sarawak.

Tips & maklumat berkenaan FPL dari Malaysia

Karim yang membalas dakwaan kumpulan penyokong tersebut berkata bahawa duit tidak menyelesaikan segala masalah dan pemberian wang tidak akan terus menjamin kejayaan.

Tambah Karim, beliau sangat mahu melihat FAS diuruskan dengan betul dan beliau mahu melihat FAS berjaya.

Menurut Karim, sebagai menteri bertanggungjawab ke atas sukan di Sarawak, beliau tidak mahu menganak-tirikan mana-mana sukan sambil beliau menyatakan bahawa satu pertiga peruntukan untuk Sukan Sarawak sudah diberikan kepada FAS.

Karim dipetik berkata “Saya amat mahu melihat FAS diurus dengan betul tetapi kadang kala membawa masuk pemain baharu juga tidak akan membantu.

“Untuk makluman anda, bolasepak mendapat peruntukan terbanyak. Satu per tiga peruntukan pembangunan sukan Sarawak telah diberikan kepada FAS.

“Sebagai menteri bertanggungjawab, saya tidak akan membenarkan mana-mana sukan dianaktirikan, terutama sekali bola sepak yang saya minati. Saya mahu melihat FAS berjaya.”

Karim dalam pada itu juga berharap sesiapa yang mengemudi FAS musim hadapan akan berupaya melonjakkan pasukan Sarawak menjadi antara lima pasukan teratas liga.

Beliau juga dipetik berkata bahawa semua masalah FAS berpunca dari masalah dalaman dan kesilapan pengurusan.

Menurut Karim “Duit tidak akan menyelesaikan segalanya. Kita boleh menyalur duit ke dalam kelab tetapi itu tidak bermakna ianya akan berjaya.

“Saya berharap sesiapa yang mengemudi FAS pada masa hadapan akan dapat mewujudkan pasukan yang bagus supaya kita boleh sekurang-kurangnya mengakhiri musim sebagai antara lima pasukan terbaik liga.

“Bagaimana anda mahu menguruskan pasukan bolasepak yang mempunyai masalah pemecatan dan peletakkan jawatan? Anda tidak seharusnya menyalahkan kerajaan Sarawak untuk masalah dalaman FAS.

Karim dalam pada itu juga memaklumkan bahawa FAS menerima geran tahunan bernilai RM3.5 juta dari Kerajaan Sarawak, dengan tambahan RM4 juta juga disalurkan pada awal tahun ini.