Sejak kebelakangan ini, beberapa nama telah dikaitkan dengan jawatan tertinggi di dalam bolasepak Sarawak, namun selepas hampir dua minggu Mesyuarat Agung Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) diadakan, jawatan Presiden masih lagi kosong.
Beberapa nama telah dicadangkan, dan diterima, namun mereka lantas menolak jawatan tersebut dengan seribu satu alasan. Alasan yang paling kerap digunakan adalah: ‘mempunyai komitmen lain’.
Persoalan mula timbul jika pengaruh media sosial merupakan salah satu punca calon-calon ini enggan memegang jawatan presiden yang kini panas.
Umum tahu dan sedar, apabila sesuatu nama dicadangkan, ‘keyboard warriors’ akan terus menyerang akan individu tersebut dari segenap sudut. Usahlah dikatakan hal kerja, hal keluarga pun turut disentuh oleh golongan ini. Lebih memeritkan lagi, individu ini akan menggunakan pelbagai bahasa kesat untuk menggambarkan ketidak-sukaan mereka terhadap calon tersebut, termasuk merendahkan lagi hobi dan kesukaan calon tersebut, dan hampir separuh yang memberi komen negatif ini akan berselindung di belakang gambar dan nama yang tidak benar. Adakah mereka takut dikenali?
Mengambil contoh artikel ‘Gaya Manchester United ke Stadium Negeri?‘ yang kami tuliskan. Ianya bukanlah bermaksud Sarawak akan mengikuti kekalahan demi kekalahan yang dialami oleh pasukan Liga Perdana Inggeris tersebut, namun lebih kepada cara pasukan itu ditadbir sehinggakan ianya kini boleh memperolehi berbillion ringgit dari sumber bukan bolasepak. – Bukankah ini sesuatu yang baik dan sering didambakan peminat bolasepak Sarawak? Pasukan diuruskan dengan profesional, dan tidak mempunyai masalah kewangan?
Namun, ramai yang tidak mahu membaca dan terus memilih untuk menilai seseorang, dan artikel yang ditulis berdasarkan tajuk sahaja, sambil terus memberi komen yang tidak diketahui betul atau salah. Kematangan berfikir diletakkan di lutut, kerana ego diletakkan di kepala.
Sememangnya anda harus marah kami berkata demikian, tetapi adalah tidak adil juga untuk anda menilai seseorang berdasarkan khabar angin mahupun penampilannya. Manusia tidak dicipta sama, dan kita tidak akan tahu siapa yang berkebolehan untuk mengemudi FAS sehingga beliau sudah berada di sana.
Kami telah berjumpa dengan beberapa pegawai FAS dan jurulatih pasukan Sarawak yang merupakan anak Sarawak, dan mereka telah sama-sama bersetuju bahawa pada masa kini, mereka tidak mahu mengambil kisah sangat berkenaan komen di media sosial kerana bagi mereka, kerja mereka menaikkan bolasepak Sarawak adalah lebih penting dari merasa sakit hati dek komen di media sosial.
Sememangnya, komen daripada ‘keyboard warriors’ sememangnya panas dan mampu menggangu fokus pembangunan bolasepak tempatan, dan ketiadaan ‘penghulu’ di FAS kini menyaksikan fokus semua pihak teralih kepada siapa yang akan menentukan hala tuju bolasepak Sarawak.
Dalam pada itu, bagi ‘Keyboard warriors’ di luar sana, cubalah calonkan diri sendiri sebagai presiden, sebab jika anda tidak dapat menyokong calon orang lain, letakkan calon yang anda rasakan sesuai seperti anda sendiri. Jangan pula bila tercalon, pelbagai alasan dicipta untuk menolak jawatan yang diberi.
Bak kata orang kita, ‘Mun sik brani, diam.’.