Kuching City FC nampaknya bukan sahaja mahu melahirkan sebuah kelab yang berjaya, tetapi juga kini memandang ke arah membina satu ekosistem kejurulatihan yang berjaya bagi seluruh Sarawak.
Pengarah Kuching City, Fazzrudin Abrul rahman dalam ucapan pelancaran jersi Kuching City FC berkata bahawa strategi telah dilakukan untuk membolehkan Kuching City melahirkan lebih banyak jurulatih bola sepak dalam masa terdekat.
Beliau juga menyatakan bahawa kemasukan Wan Jamak Hassan sebagai pengarah tenikal kelab tersebut adalah satu bahagian besar kepada perancangan jangka panjang kelab tersebut.
“Seperti sudah sedia maklum, kita mengambil Wan Jamak sebagai pegawai teknikal kita. Kita mengenali Wan Jamak sebagai seorang jurulatih dan sebagai seorang tenaga pengajar yang dapat membuat kursus kejurulatihan.” kata Fazzrudin dalam ucapannya pada pelancaran jersi Kuching City.
“Kita mahu memastikan anak – anak Sarawak mendapat lesen lebih tinggi lagi.
“Jika mereka mendapat lesen bola sepak lebih tinggi, seperti lesen B dan A, mereka boleh terlibat secara langsung di dalam pembangunan bola sepak di Kuching dan Sarawak.” ujarnya lagi.
Fazzrudin juga menyatakan bahawa jurulatih bola sepak di Sarawak boleh berlatih dengan Irfan Bakti, Wan Jamak dan Sulaiman Hussin yang mana merupakan pakar dalam membangunkan pemain muda.
“Mereka boleh belajar dari Irfan Bakti dan Sulaiman Hussin yang kita kenali sebagai jurulatih yang mampu membangunkan pemain muda. Kita amat beruntung mendapat dua orang tokoh yang dapat menjadi sebahagian kepada perancangan lebih besar kita.” jelas Fazzrudin.
“Kita doakan agar kerjasama kita akan membuahkan hasil lebih besar untuk tahun 2021.” katanya lagi.