Pasukan Sabah FC berjaya mengikat Selangor FC malam tadi dalam satu perlawanan yang menarik.
Sabah yang menjadi pasukan pelawat, tidak menunggu lama untuk menyerang apabila melancarkan serangan bertali arus ke arah kubu Selangor sebaik wisel permulaan.
Sungguhpun demikian, cubaan dari Amri Yahyah dan Azizan Nordin pada minit ke – 18 dan minit ke – 26, jauh dari sasaran.
Sabah terus mengasak, dan akhirnya Amri berjaya meletakkan pasukan pelawat di hadapan selepas beliau menyambut hantaran Alto Linus, sebelum mengelecek bola dan merembat kencang gol pertama perlawanan pada minit ke – 30.
Sabah terus mengasak untuk menambah jaringan pada babak pertama, namun rembatan penyerang kelahiran Indonesia, Saddil Ramdani juga gagal menemui sasaran apabila melambung tinggi. Ini diikuti pula oleh rembatan kearah pintu gol oleh Saddil beberapa minit kemudian, yang hanya leret di hadapan pintu gol.
Kedudukan memihak Sabah kekal sehingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, Selangor pula mula menampakkan kekuatan jentera serangan mereka.
Hasilnya, Selangor menyamakan kedudukan pada minit ke 56 melalui satu tampanan menarik oleh Ifedayo Olesegun yang menewaskan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim.
Selangor terus mengasak dan jentera serangan Sabah terus menekan barisan pertahanan Sabah dengan cubaan – cubaan merbahaya.
Hasilnya, Ifedayo sekali lagi berjaya menewaskan Rozaimie dengan satu rembatan leret pada minit ke – 71.
Selangor terus mengasak mencari lebih banyak gol, namun kekebalan barisan pertahanan Sabah memastikan perbezaan jaringan terus kekal sama.
Sabah yang kini ketinggalan, kemudiannya memasukkan Bobby Gonzales bagi mempertajamkan jentera serangannya, dan hasilnya, Bobby menyumbat gol penyamaan pada minit – minit akhir perlawanan selepas beliau cantik menanduk masuk bola hasil hantaran yang berpunca dari sepakan sudut.
Kedudukan 2 – 2 kekal sehingga tamat perlawanan, sekaligus memberikan Sabah dan Selangor satu mata berharga.