Penolong jurulatih Sarawak FA, Denny Dai’al menyatakan bahawa pemain-pemain muda Sarawak FA telah menunjukkan semangat dan kegigihan sepanjang kempen Liga Premier musim ini.
Denny dipetik sebagai berkata demikian kepada akhbar Utusan Borneo.
Menurut Denny, pemain-pemain muda Sarawak berjaya bersaing di dalam liga, namun kekurangan pengalaman mengakibatkan pasukan Sarawak berhempas pulas di dalam saingan.
Denny menambah bahawa terdapat potensi cerah di dalam beberapa pemain muda musim ini di mana mereka akan membentuk ‘tulang belakang’ kepada pasukan Sarawak.
Sungguhpun demikian, Denny juga mengakui pemain-pemain yang dikenalpasti perlu memperbaiki prestasi merweka.
Denny dipetik akhbar Utusan Borneo sebagai berkata “Pemain-pemain muda kita menunjukkan semangat dan kegigihan.
“Mereka berjaya bersaing cuma pendedahan agak kurang.
“Tahun ini kita hendak membentuk ‘tulang belakang’ pasukan dan saya sudah nampak pemain-pemain bayangan untuk dikekalkan.
“Sudah tentu pemain-pemain terbabit masih memerlukan penambahbaikan”.
Sarawak mengakhiri Liga Premier musim ini di tangga tercorot liga, namun masih belum tentu disingkirkan ke Liga M3 ekoran peraturan yang ditetapkan pihak Malaysia Football League yang mahu perlawanan play-off antara dua pasukan teratas Liga M3 dan pasukan ke-11 dan ke-12 Liga Premier dibuat sebagai penentu penyingkiran ke liga divisyen ketiga Malaysia.