Persamaan budaya dan bahasa menjadi kelebihan mengapa pemain dari Singapura menjadi pilihan kebanyakan pasukan di pentas Liga Malaysia untuk mengisi kuota import ASEAN.
Perkara itu diutarakan Pengarah Urusan Offside Sports, Abdul Halim Abdul Shukor yang berkata, faktor itu memudahkan pihak kejurulatihan dan pengurusan untuk berurusan dengan pemain dari Singapura.
Selain itu, faktor sejarah yang terbina antara Malaysia dan Singapura sejak daripada dulu juga menjadi asas corak permainan bola sepak kedua-dua negara tidak jauh berbeza.
” Pemain import dari Singapura mudah menyesuaikan dengan budaya serta bahasa di Malaysia kerana tidak ada banyak perbezaan dengan di sana.
” Ini satu kelebihan ketara jika hendak dibandingkan dengan pemain-pemain import ASEAN lain dan perkara ini turut menjadi salah satu faktor yang dilihat jurulatih atau pengurusan.
” Sejarah bola sepak Singapura banyak juga terbina daripada Malaysia dan ini menjadikan mereka tidak sukar memahami falsafah bola sepak di sini,” katanya.
Daripada 12 pasukan di CIMB Liga Super, lima pasukan menggunakan pemain import dari Singapura iaitu Hariss Harun(Singapura), Shakir Hamzah (Kedah), Safuwan Baharudin (Selangor), Faris Ramli (Terengganu FC) dan Khairul Amri (Felda United).
Manakala selebihnya Thailand (tiga pemain- Melaka, PJ City FC, Sabah),Filipina (dua pemain- UITM FC, Pahang) dan Kemboja (satu pemain- Perak) dengan PDRM sahaja tidak menggunakan slot import dari ASEAN.
Kedah juga turut menggunakan seorang lagi pemain dari Filipina iaitu Amin Adam Nazari yang sebelum ini pernah bermain di Sweden dan Thailand.
Dalam masa sama, Halim berasakan kehadiran beberapa pemain import dari Thailand mewarnai Liga Malaysia setelah sekian lama adalah satu petanda baik kepada mutu bola sepak negara.
Walaupun bukan terdiri daripada pemain-pemain utama skuad kebangsaan Thailand namun sekurang-kurangnya trend ini akan menjadi permulaan untuk membina perspektif lebih positif terhadap Liga Malaysia.
” Saya difahamkan ada salah seorang pemain merupakan bekas pemain kebangsaan Thailand iaitu Anawin Jujeen yang menyertai PJ City.
” Dua lagi pemain ( Naruphon Putsorn-Melaka, Dennis Buschening-Sabah) juga ada reputasi tersendiri di Thailand dan ini membuka ruang kepada publisiti Liga Malaysia.
” Pemain-pemain utama skuad kebangsaan Thailand dan tidak terkecuali Vietnam juga mempunyai permintaan gaji yang tinggi iaitu mencecah RM 65,210 ( USD 15,000) dan situasi ini menyebabkan mereka sukar datang ke sini.
” Namun dengan perkembangan terkini harap akan ada lebih ramai lagi pemain-pemain dari sana berminat untuk berhijrah ke Liga Malaysia,” katanya.