Pemain Sabah yang mencipta nama bersama Sarawak FA

Sejarah bola sepak Sarawak sering diwarnai oleh pemain – pemain dari Sabah sejak zaman dahulu lagi.

Menariknya, kebanyakan pemain Sabah yang menyinar bersama Sarawak, tidak begitu menyinar apabila bermain untuk negeri kelahiran mereka sendiri.

Di sini, disenaraikan pemain – pemain kelahiran Sabah yang berjaya menaikkan karrier mereka bersama Sarawak, dan juga berbakti sebagai pemain regular dan disegani di dalam pasukan Sarawak FA.

BOBBY CHUA

Bobby Chua berpindah ke Sarawak FA dengan harga kontroversi pada tahun 2000.  Pada ketika itu, Sabah FA enggan membenarkan perpindahan Bobby ke Sarawak FA, namun akhirnya terpaksa akur ekoran sebab-sebab tidak teknikal.

Ini menyaksikan Sarawak FA dikenakan yuran perpindahan RM1 oleh Sabah FA. Bersama pasukan Sarawak FA, Bobby memberikan yang terbaik dan berjaya menjaringkan 21 gol daripada 88 perlawaan.

Beliau juga kekal bersama pasukan Sarawak selama enam tahun.

RONNY HARUN

Ronny boleh dianggap sebagai lagenda dalam bola sepak Sarawak.  Seperti Bobby Chua, Ronny juga pada asalnya beraksi untuk pasukan Sabah FA namun kehabatan beliau amat terserlah apabila mula bermain untuk Sarawak FA.

Ronny dianggap antara pemain pertahanan terbaik pasukan Sarawak FA dan beliau diibaratkan sebagai ‘kereta kebal’ oleh peminat.

Kualiti Ronny terserlah apabila beliau dinamakan di dalam senarai anugerah 11 Pemain Bola Sepak AFF semasa bermain untuk pasukan Sarawak FA.  Beliau juga telah dicalonkan sebagai pemain pertahanan terbaik Malaysia musim 2016 dan 11 pemain terbaik Liga Super pada tahun 2017.

Ronny juga telah dipanggil untuk mewakili pasukan kebangsaan apabila bersama pasukan Sarawak FA. Beliau telah dilantik menjadi ketua pasukan Sarawak FA pada tahun 2017. Beliau telah bersama Sarawak FA selama 4 tahun.

BOBBY GONZALES

Bobby Gonzales adalah nama yang tidak asing lagi dalam bola sepak Sarawak FA.  Pemain lagenda Sarawak FA ini telah menyertai Sarawak sebanyak tiga kali dalam karier bola sepak beliau.

Apabila bersama Sarawak FA, Bobby telah menjaringkan 73 gol daripada 95 perlawanan, sekaligus menjadikan beliau penyerang dan pemain paling berbisa dalam sejarah bola sepak Sarawak.  Rekod beliau mengalahkan jumlah jaringan mana-mana pemain import, termasuk lagenda bola sepak Sarawak, John Hunter.

Pada tahun 2018, Bobby telah dianugerahkan Kasut Emas Liga Premier bagi pemain tempatan oleh Malaysia Football League, dan beliau sekali lagi memenangi anugerah sama pada tahun 2019.

Semasa bersama Sarawak FA, Bobby juga pernah dipanggil untuk menyertai pasukan kebangsaan dan beliau juga telah dipilih sebagai ketua pasukan Bujang Senang pada tahun 2019. Bobby meninggalkan pasukan Sarawak FA pada akhir tahun 2019.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top