Pemain Sabah mahu tamatkan kemarau kemenangan

Setelah melalui 12 perlawanan tanpa sebarang kemenangan, pertahanan Sabah, Nazirul Naim Che Hashim berharap kemarau itu mampu ditamatkan dalam empat aksi akan datang pada saingan TM Piala Malaysia.

Menurut pemain berusia 28 tahun itu yang berasal dari Kuala Kangsar, tekanan sentiasa akan hadir dalam tiap perlawanan bagi mereka menuntut kemenangan selepas prestasi yang tidak menentu pada pusingan kedua Liga Super.

Namun dia berharap aura kejohanan TM Piala Malaysia selain dibantu bekas pengendali skuad kebangsaan dan Bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee akan memberikan perubahan buat Sabah, bermula dengan aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jumaat ini.

“ Sekarang ini saya tidak nafikan kami memang terdesak untuk menang dalam tiap perlawanan yang lalui tetapi di saingan Piala Malaysia, suasananya sangat berbeza.

“ Saya rasa ini masa terbaik buat pemain membuktikan sesuatu dan ambil cabaran ini demi peminat kerana ramai tahu Sabah sudah lama tidak menang.

“ Bertemu JDT, saya tahu sememangnya sukar kerana mereka sebuah pasukan terbaik di Liga Malaysia tetapi kami akan berusaha meraih keputusan positif kerana bakal bermain buat pertama kali di tempat sendiri untuk saingan Piala Malaysia.

“ Ditambah kehadiran penyokong, saya berasakan faktor ini akan berikan semangat tambahan buat kami untuk cuba mendapatkan keputusan yang positif, ” katanya.

Kali terakhir Sabah menang ialah pada 5 Mei lalu semasa menewaskan Melaka United, 3-1, di Stadium Likas yang juga menjadi satu-satunya kemenangan mereka di pusingan kedua Liga Super.

Selepas itu, Sabah meraih tiga seri dan tujuh kekalahan sebelum mencatat dua keputusan seri pada dua perlawanan peringkat Kumpulan D semasa bertemu PJ City FC serta Kelantan FC.

Sabah akan melayani kunjungan JDT pada 29 Oktober di Stadium Likas selain satu lagi saingan Kumpulan D membabitkan PJ City FC dan Kelantan FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). – MFL

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top