Pemain profesional tempatan atau dan pemain asing mestilah menandatangani kontrak seperti disediakan dan ditetapkan oleh pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bermula musim hadapan (2021).
Dalam kenyataan media oleh Malaysia Football League (MFL), semua pemain harus menandatangani kontrak sebagai pemain profesional dan ini termasuk pemain pasukan-pasukan PDRM dan ATM.
Menurut kenyataan tersebut lagi, lain – lain kontrak tidak akan diterima oleh pihak MFL.
Keputusan menyeragamkan format kontrak pemain pada musim hadapan diumumkan oleh CEO MFL, Dato’ Ab Ghani apabila beliau turut menyesahkan bahawa Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah telah meluluskan prosedur Pengambilan dan Pendaftaran Pemain dan Pegawai Asing Musim 2021.
Antara lain, prosedur tersebut mewajibkan pasukan – pasukan yang hendak mengambil dan mendaftar pegawai dan pemain asing dari luar negara untuk memohon secara terus melalui surat rasmi kepada Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia.
“Pasukan-pasukan yang hendak mengambil dan mendaftar pegawai dan pemain asing dari luar negara hendaklah memohon secara terus melalui surat rasmi kepada Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia dengan menyertakan maklumat seperti senarai nama Pegawai dan Pemain yang hendak didaftarkan, salinan Pasport Pegawai dan Pemain yang sah dan maklumat berkaitan negara asal dari mana kemasukan Pegawai dan pemain berkenaan,” kata Ab Ghani dalam kenyataan media tersebut.
Dua keputusan tersebut dilihat sebagai langkah pihak FAM dan MFL untuk menaiktaraf kebajikan pemain Liga Malaysia yang sebelum ini telah dicemari dengan hal – hal berkaitan kontrak dan masalah gaji.