Pemain ePiala Malaysia sedia hadapi saingan sengit lawan

Pemain kompetitif e-sukan FIFA 19, Muhammad Luqman Haziq Hajiman enggan terlalu selesa dilabelkan sebagai pemain pilihan untuk ungguli Kejohanan ePiala Malaysia 2019 yang akan bermula, esok.

Haziq atau lebih dikenali sebagai Fenrir merupakan pemain arena e-sukan FIFA yang berada di ranking nombor satu Malaysia dan pernah mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemain negara pertama yang layak ke Piala Kejohanan FIFA Ultimate Team (FUT) 2018.

Dia yang akan mewakili pasukan Terengganu FC dalam Kejohanan ePiala Malaysia anjuran Malaysian Football League (MFL) bersama kerjasama Gamesbond Global Sdn Bhd bagaimanapun tetap melihat saingan yang cukup sengit akan ditampilkan oleh pencabar lain.

Fenrir bakal berdepan pencabar yang mewakili pasukan Johor Darul Ta’zim, (JDT), Putera Sufrie Nizam Subardon dalam aksi suku akhir yang akan berlangsung pada esok malam.

“Saya tahu kalau ikut daripada segi profil dan ranking, saya berada di ranking nombor satu Malaysia sejak tahun lalu dan hampir untuk mewakili negara ke Kejohanan e-Piala Dunia FIFA.

“Tekanan apabila diletakkan sebagai pemain pilihan itu saya sudah biasa dalam karier saya sekarang ini tetapi saya tidak mahu rasa terlalu selesa.

“Saya harap dapat buat yang terbaik dalam kejohanan ini dan sasaran utama dalam karier saya tahun ini adalah untuk layak ke Kejohanan e-Piala Dunia FIFA”, katanya.

Sementara itu, pemain yang turut beraksi dalam kejohanan ePiala Malaysia 2019, Nur Amirul Afandi atau lebih dikenali sebagai AmTuah juga antara menjadi perhatian untuk merebut gelaran juara pada edisi sulung ini.

Dia yang akan mewakili pasukan Perak akan berdepan pencabar yang akan menyarung jersi Selangor, Iskandar Mirza Mohd Mustafa dalam aksi suku akhir nanti.

Jelas Amtuah, ketahanan mental amat penting dan menjadi kunci utama dalam diri pemain sukan alam maya untuk memastikan strategi dan taktikal yang digunakan akan berhasil dalam perlawanan itu nanti.

“Sebagai pemain sukan elektronik, kita tidak terlalu menggunakan aspek fizikal, tetapi lebih menitikberatkan ketahanan mental.

”Kita perlu terapkan strategi dan taktikal yang terbaik untuk digunakan dalam perlawanan nanti dan ianya berbeza dengan pemain sebenar di atas padang.

“Cukup untuk kita tahu perkara asas yang penting sebagai pemain bola sepak sebenar dan bezanya adalah kita lebih menggunakan kekuatan mental untuk bermain”, katanya.

Terdahulu telah berlangsungnya undian Kejohanan ePiala Malaysia 2019 pada hari ini dengan lapan pemain akan membawa cabaran di peringkat suku akhir mewakili lapan pasukan yang kini sedang beraksi di suku akhir Piala Malaysia 2019.

Kejohanan ePiala Malaysia 2019 ditaja oleh BenQ selaku penaja rasmi, Thermaltake, Seagate, eGG Network dan iflix.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top