Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dipetik laman VocketFC sebagai menggesa mana-mana pemain dalam saingan Liga Malaysia yang terlibat dalam masalah tunggakan gaji perlu tampil dan membuat laporan atau aduan rasmi kepada badan tersebut.
Mengikut laporan laman tersebut, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izham Ismail dipetik sebagai berkata bahawa pemain tidak perlu takut dan perlu segera membuat laporan rasmi kepada PFAM jika mereka tidak mendapat bayaran gaji seperti yang sudah tertera di dalam kontrak.
Laporan sama menyebut bahawa tindakan hanya boleh diambil oleh PFAM sekiranya ada laporan rasmi.
Izham dipetik sebagai VocketFC berkata “Kami mengharapkan mana-mana pemain untuk datang ke PFAM secara rasmi dan membuat laporan untuk kita membuat tindakan selanjutnya. Masih ada lagi kes tunggakan gaji dalam saingan Liga Malaysia dimana kita dimaklumkan secara tidak rasmi juga oleh sesetengah pihak yang memberitahu bahawa beberapa pasukan Liga Super dan Liga Perdana masih lagi menghadapi masalah gaji tertunggak.
“Dalam hal ini, pemain perlu tampil ke hadapan dimana mereka tidak perlu takut untuk membuat laporan mengenai tunggakan gaji mereka kepada kami,”.
Masalah tunggakan gaji kini melanda bola sepak Malaysia dengan dakwaan sama juga hadir bahawa ianya melibatkan pasukan Sarawak FA yang kini telah menamatkan saingan Liga Premier 2019.
Sungguhpun demikian, ada pihak mendakwa bahawa pemain Sarawak setakat ini belum ada membuat apa-apa tindakan berkenaan situasi mereka kecuali meluahkan perasaan secara ‘tidak terang’ di media sosial.