Seorang pegawai dan seorang pemain Kuching City FC mendapat pencalonan untuk Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2020 (ABK20) Virtual.
Jawatankuasa Saringan telah menyenarai pendek 10 pemain terbaik bagi setiap kategori iaitu Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik, Jurulatih Terbaik.
Dalam senarai tersebut, mantan ketua jurulatih Kuching City, Akira Higashiyama, tersenarai sebagai antara calon Jurulatih Terbaik pada musim ini bersama – sama calon – calon lain seperti Benjamin Mora (JDT), Manzoor Azwira (Pulau Pinang) dan Yusri Che Lah (Kelantan FA).
Seorang lagi pemain Kuching City yag turut tersenarai dalam ABK20 Virtual adalah penjaga gol Kuching City, Iqbal Suhaimi.
Iqbal yang merupakan bekas penjaga gol Sarawak FA dicalonkan sebagai Penjaga Gol Terbaik ABK20 dan akan bersaing dengan nama – nama terkemuka seperti Farizal Marlias (JDT), Sharbinee Allawee (Pahang FC) dan Samuel Somerville (Pulau Pinang).
ABK20 Virtual diadakan bagi menggantikan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan bagi tahun ini dimana Anugerah Pasukan Terbaik turut disenaraikan dalam ABK20 Virtual.
Senarai 10 pemain terbaik yang terpilih ini akan dihantar kepada juri profesional yang terdiri daripada 24 ketua jurulatih, 24 ketua pasukan dan 24 wakil media bakal menyumbang 70 peratus kiraan mata.
Sementara baki 30 peratus kiraan mata ABK20 Virtual akan diundi oleh peminat menerusi undian di platform undian di mana tempoh pengundian akan dijalankan selama lima hari maksimum bermula Isnin (21 Disember 2020).
Pemenang akan dimuktamadkan daripada 70 peratus kiraan mata juri profesional dan 30 peratus kiraan mata undian peminat.
Sebagai rekod, Anugerah seperti Pemain Muda Harapan, Pemain Import Terbaik, Pemain ASEAN Terbaik, Penyokong Terbaik, Fan XI, Pemain Paling Popular, Laman Web Terbaik, Media Sosial Terbaik, Anugerah Mesra Media, Anugerah Komuniti, Anugerah Persahabatan, AFL Liga M3 – Pasukan Terbaik, AFL Liga M3 – Pemain Terbaik, Pengadil Berpotensi dan Anugerah Fair Play tidak dipertandingkan dalam ABK20 Virtual.