Peluang untuk Sarawak FA bangkit musim hadapan

Tersingkirnya Sarawak FA ke Liga M3 bukanlah penghujung kepada pasukan tersebut sekiranya dikekalkan.

Ini adalah kerana jika dikekalkan di dalam status kini, yakni sebagai sebuah pasukan profesional, Sarawak FA dilihat mampu memberi cabaran hebat kepada pasukan-pasukan amatur di dalam Liga M3.

Apa tidaknya, Sarawak FA yang kini dilengkapi pelbagai kemudahan baik dari segi kemudahan gim, mahupun tempat berlatih, dan dengan bilangan jurulatih dan barisan pelapis muda yang cukup ramai, Sarawak FA mampu menghasilkan sebuah pasukan yang kuat dan mampu bersaing di peringkat Liga M3.

Ini ditambah lagi dengan hakikat bahawa Sarawak FA dan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) sudah tidak perlu risau akan isu-isu luar padang yang sering menganggu perjalanan pasukan tersebut musim ini, sekaligus memberikan mereka lebih fokus kepada memantapkan pasukan di Liga M3.

Isu-isu berbangkit seperti mendapatkan lesen kelab bola sepak, menghantar audit dan juga masalah geran dari MFL akan menjadi perkara yang boleh diletakkan di belakang kerana ianya bukan satu keperluan di dalam Liga M3.

Dari segi sokongan, Sarawak FA sememangnya akan terus mendapat sokongan rakyat Sarawak biarpun haruslah diakui, sokongan tersebut akan sedikit malap pada musim hadapan.

Sungguhpun demikian, sokongan tersebut tetap ada, dan jika Sarawak FA berjaya beraksi dengan baik dan naik ke persada Liga M3, adalah tidak mustahil, sokongan besar akan kembali mendukung pasukan yang dikenali sebagai Bujang Senang.

Oleh itu, tidak perlulah bagi peminat dan penyokong Sarawak FA bersedih kerana tersingkir ke Liga M3 kerana jika diatur dengan betul, penyingkiran Sarawak FA merupakan satu permulaan kepada pasukan yang suatu masa dahulu amat digeruni di persada bola sepak Malaysia.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top