Robert Alberts telah mengesahkan bahawa Fadzley Rahim tidak akan beraksi pada perlawanan menentang Perak pada Jumaat ini dan ini telah membuka ruang kepada samada Sani Anuar atau Aidil Mohammad (gambar) untuk beraski menjaga gawang Sarawak.
Jika dibandingkan, Sani mempunyai peluang lebih cerah untuk beraksi memandangkan beliau menjadi pilihan utama Robert sebelum prestasi penjaga gol kelahiran Selangor itu menjunam pada bulan April lalu.
Jika terpilih, Sani berpeluang untuk membuktikan kepada Robert bahawa dia sudah bersedia untuk kembali sebagai penjaga gol utama Sarawak, sekaligus mampu ‘merampas’ status tersebut yang kini dipegang Fadzley.
Sungguhpun demikian, Aidil juga berpeluang mengintai posisi tersebut pada Jumaat ini memandangkan beliau belum beraksi pada musim ini dan banyak melihat perlawanan dari luar padang.
Pemilihan Aidil walaubagaimanapun dijangka tidak akan membawa banyak perubahan kepada barisan pemain utama Sarawak sekembalinya Fadzley dari percutian perkahwinan beliau kelak kerana Aidil dilihat bukanlah pilihan utama dalam senarai penjaga gol Sarawak.
Kedua-dua penjaga gol Sarawak ini pernah menjadi penjaga gol utama skuad Bujang Senang dimana Aidil banyak diturunkan pada musim 2011, dan Sani dari 2012 hingga 2014, sebelum Fadzley mengambil alih status penjaga gol utama sejak April lalu.