Dengan Kuching City FC kini sah akan meneruskan perjuangan musim ini di Piala Malaysia, tumpuan penduduk bola sepak Sarawak kini terarah ke pasukan Sarawak United yang mahu dikenali sebagai pasukan yang mewakili Sarawak.
Dengan kini menghuni tangga tercorot Liga Premier dengan lapan mata dari 11 perlawanan, Sarawak United masih berpeluang untuk melayakkan diri ke Piala Malaysia jika berjaya menempatkan diri di kalangan lima pasukan terbaik Liga Premier.
Ini dapat dilakukan dengan mengalahkan pasukan Negeri Sembilan pada perlawanan Liga Premier terakhir pada musim ini, dengan mengharapkan bahawa UKM dan Kelantan United tewas dalam perlawanan terakhir mereka.
Jika ini berlaku, Sarawak United akan mempunyai cukup mata untuk memintas ketiga – tiga pasukan tersebut untuk menjadi pasukan kelima terbaik di Liga Premier, dan sekaligus melayakkan diri ke Piala Malaysia.
Ini berlaku kerana mereka (Sarawak United) akan mempunyai 11 mata, sama seperti Negeri Sembilan, dan perbezaan jaringan gol mereka yang lebih kecil berbanding Negeri Sembilan akan memastikan mereka mengatasi pasukan tersebut untuk kedudukan klapan Liga Premier, yang juga merupakan kedudukan ke-lima terbaik Liga Premier jika pasukan simpanan tidak diambil kira.
Hal ini adalah kerana pasukan simpanan, JDT 2, Perak 2, Terengganu 2 dan Selangor 2 tidak layak untuk bermain di Piala Malaysia.
Jika Sarawak United berkongsi mata, mahupun tewas, pasukan tersebut akan secara automatik gagal ke Piala Malaysia.
Sungguhpun demikian, jika salah satu dari pasukan UKM FC ataupun Kelantan United menang di dalam perlawanan terakhir Liga Premier 2020 mereka, pasukan Sarawak United akan gagal melayakkan diri ke Piala Malaysia.
Oleh yang demikian, Sarawak United tidak ada cara lain untuk menyelamatkan diri dan maruah mereka pada musim ini, melainkan memenangi perlawanan ke-11 menentang Negeri Sembilan.