Kelab bola sepak Kuching City nampaknya masih belum menemui rentak kemenangan apabila menentang pasukan Liga Super apabila tewas 3 – 0 dalam perlawanan persahabatan dengan Sabah FC malam ini tadi.

Kelab bimbingan Irfan Bakti itu dilihat memberi saingan kepada pasukan sang Badak, namun The Cats nyata tidak mampu mengekang ketangkasan barisan serangan Sabah yang merobek gawang Kuching City melalui Maxius Musa, Saddil Ramdani dan Randy Baruh.

Malah, Sabah membuka jaringan seawal minit ke-35 perlawanan melalui pemain sensasi Maxius, sebelum pemain import dari Indonesia, Saddil menambah derita pasukan Kuching City.

Bersambung babak kedua Kuching City cuba bangkit, namun Randy Baruh menjaringkan gol ketiga dan terakhir untuk Sabah utuh sehingga akhir perlawanan.

Perlawanan ini menyaksikan Kuching City menurunkan ramai pemain muda dan kurang bermain di dalam saingan Liga Premier mereka.

Adalah difahamkan Kuching City sedang dalam cubaan membina pasukan lebih ampuh apabila saingan Liga Premier bersambung kelak.

Buat masa ini, Kuching City belum memenangi mana – mana perlawanan persahabatan mereka pada bulan ini selepas tewas pada aksi persahabatan pertama menentang pasukan Liga Super PJ City FC.