Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin mengingatkan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) tentang pelaksanaan Sistem Kawalan Ekonomi (ECP) musim hadapan.
Menurut laporan BERNAMA, Hamidin mahu pasukan Liga Malaysia mengambil kira pelaksanaan ECP sebelum menandatangani kontrak pemain baharu bagi musim akan datang.
Taklimat dan penerangan berkenaan pelaksanaan ECP akan dibuat oleh wakil perunding ECP, PricewaterhouseCoopers Risk Services Sdn. Bhd, pengelola Liga Sepanyol La Liga dan MFL pada 15 Nov ini.
Pelaksanaan ECP secara menyeluruh dan lebih ketat bakal bermula pada musim 2021, dengan pelaksanaan bermula 2020 dibuat secara berperingkat.
Hamidin dipetik BERNAMA sebagai berkata “Kita serius dalam membantu pasukan menguruskan kewangan dengan lebih baik supaya masalah hutang yang sebelum ini membelenggu kebanyakan pasukan dapat diatasi bersama. Penelitian struktur kewangan adalah penting sebelum menandatangani kontrak pemain baharu untuk saingan musim depan.
“Ia kerana kontrak yang ditandatangani itu bakal membawa kesan kepada pasukan dalam mematuhi ECP pada tahun seterusnya. Pasukan boleh berhubung dengan MFL jika ada sebarang pertanyaan selain taklimat yang akan diberikan nanti.
“MFL akan bertegas dalam perlaksanaan ini yang sudah dirancang sejak sekian lama untuk dijadikan asas kepada kestabilan masa depan bola sepak Malaysia seiring dengan perlaksanaan program Next50 MFL.”
Pelaksanaan ECP di La Liga bermula 2012 telah berjaya menghapuskan bebanan hutang pasukan bertanding sebanyak €90 juta (RM422.87 juta) pada tahun tersebut, dan seterusnya berjaya menghapuskan beban hutang pasukan La Liga sepenuhnya dalam tempoh lima tahun.