Pasukan dalam kawasan PKPD di minta cari venue alternatif

Pasukan – pasukan Liga Malaysia yang terkesan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) telah diminta mencari venue alternatif bagi meneruskan latihan serta perlawanan liga berkenaan.

Menurut CEO Malaysia Football League (MFL), Dato’ Ab Ghani sebarang perlawanan Liga Malaysia termasuk perlawanan latihan tidak dibenarkan berlangsung di kawasan PKPD.

Oleh itu, pasukan telah diminta mencari venue lain bagi memastikan perjalanan Liga Malaysia tidak terjejas.

Setakat ini pasukan Liga Super dan Liga Premier yang terlibat dengan PKPD adalah Kuala Lumpur City FC dan PDRM FC (Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras), Selangor FC 2 (Stadium Majlis Perbandaran Selayang), Selangor FC dan PJ City FC (Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya), UiTM FC dan Skuad Projek FAM-MSN (Stadium UiTM, Shah Alam) serta Negeri Sembilan FC (Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi).

“Buat masa ini, lapan pasukan tidak dapat menggunakan venue asal mereka disebabkan PKPD dan kita tidak tahu bila tempoh PKPD ini akan ditamatkan jadi oleh itu, pasukan terbabit telah diminta untuk mencari venue baharu bagi perlawanan Liga Super dan Liga Premier yang akan bermula nanti.” kata Dato’ Abu Ghani dalam satu kenyataan yang dikeluarkan MFL.

“Pihak MFL telah meminta agar pasukan terbabit bersedia dengan perancangan awal mencari stadium baharu bukan di kawasan PKPD di mana mereka boleh memohon untuk menggunakan stadium yang tidak digunakan oleh mana-mana pasukan seperti Stadium Manjung dan Stadium Batu Kawan.” jelasnya lagi.

Abdul Ghani juga menjelaskan bahawa MFL akan memberi bantuan kepada pasukan – pasukan yang terkesan dan mungkin boleh menggunakan stadium yang hanya digunakan satu pasukan sahaja.

“Selain itu, mereka juga boleh memohon untuk menggunakan stadium yang hanya digunakan oleh satu pasukan sahaja dan MFL akan membantu pasukan-pasukan dalam mengenalpasti stadium yang boleh digunakan.

“Dengan situasi cukup mencabar disebabkan COVID-19 ketika ini, saya berharap agar semua pasukan terus bersatu dan bekerjasama antara satu sama lain dalam memastikan kelangsungan Liga Malaysia 2021 yang mana saya cukup yakin dan percaya kita boleh mengharunginya bersama,” kata Dato’ Ab Ghani.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top