Kalau anda belum perasan, terdapat ‘kata-kata semangat’ yang terhambur di sekitar pelancaran jersi Sarawak kelmarin. Jika ayat ‘The Battle continues’ mudah difahami, slogan ‘our blood, our sweat, your tears’ yang turut kelihatan dengan banyaknya kami dapati amat mengelirukan.
Kalau diterjemahkan secara terus kepada Bahasa Malaysia, slogan tersebut akan menjadi ‘Darah kami, peluh kami, air mata anda’, dan ianya masih tidak membawa banyak makna kepada kami di SarawakCrocs.com.
Dalam pada itu, kami berusaha meminta pendapat ramai berkenaan maksud slogan tersebut di laman Facebook kami, dan nampaknya, ramai juga yang kurang tahu dan kurang faham berkenaan penggunaan slogan tersebut. Ada yang membuat andaian sendiri, dan tidak kurang ada yang mengaitkannya dengan harga jersi baru Sarawak yang lebih mahal.
Jika dikupas satu persatu, kami masih sukar untuk memahami apa yang cuba dikaitkan melalui ‘darah, peluh, dan air mata’ kerana kami tidak putus-putus memikirkan bagaimana ketiga-tiga elemen tersebut dapat membawa maksud yang selari dengan bolasepak. Jika dikaitkan dengan drama sinetron kegemaran kami, mungkin ianya boleh membawa maksud.
Bukanlah kami ingin mempersendakan pasukan Sarawak, atau usaha yang dibuat pihak-pihak tertentu untuk memperhebatkan lagi skuad Bujang Senang. Namun demikian, sebagai sebuah pasukan yang professional, dan ingin bergerak ke arah bolasepak yang diswastakan, kami rasakan ada baiknya pihak pengurusan lebih berhati-hati apabila memilih slogan pasukan. Janganlah sampai slogan kita menjadi bahan lawak orang lain.
Seboleh-bolehnya, slogan tersebut haruslah jelas, dan mantap dari segi bahasa dan maksud, kerana jika slogan ‘Our blood, our sweat, your tears’ terus digunakan, kami rasakan ianya bukan sahaja janggal, pelik dan tidak mempunyai maksud yang tetap, tetapi juga adalah salah dari segi penggunaan bahasa Inggeris.
Jika anda mengetahui maksud slogan tersebut, sila lah tinggalkan komen untuk memberi pemahaman lebih mendalam kepada pihak kami.