Ong Kim Swee sekali lagi diberi tugas sebagai jurulatih interim skuad Harimau Malaya selepas Dollah Salleh meletak jawatan malam tadi.
Keputusan melantik Kim Swee dibuat pihak Persatuan Bolasepak Malaysia selepas mesyuarat tergempar diadakan semalam.
Sebagai pengendali sementara skuad kebangsaan berkuatkuasa serta merta, Kim Swee akan mengendalikan perlawanan keempat kelayakan bertemu Arab Saudi di Stadium Shah Alam, Selasa ini (8 September) dan seterusnya sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan.
Pemilihan Kim Swee dibuat atas dasar beliau seorang jurulatih yang berpengalaman termasuk pernah menjadi pengendali sementara skuad kebangsaan selama empat bulan pada tahun lalu iaitu dari 3 Februari 2014 (selepas kontrak Datuk K Rajagobal sebagai ketua jurulatih kebangsaan tamat) hingga 28 Jun 2014 (selepas Dollah dilantik ketua jurulatih kebangsaan yang baharu).
Selain itu, Kim Swee turut masih mempunyai kontrak bersama FAM sehingga penghujung tahun ini selepas beliau membimbing skuad B-23 negara pada Sukan SEA 2015 di Singapura, Jun lalu.
Selepas pemilihan itu dibuat semalam, Kim Swee menyatakan komitmen untuk menerima tawaran menjadi pengendali sementara skuad kebangsaan dan membawa bersama penolong jurulatih skuad B-23 negara, Brad Maloney serta jurulatih penjaga gol skuad B-23 negara, Yong Wai Hwang untuk menggantikan tempat dua penolong jurulatih kebangsaan, Reduan Abdullah dan Wan Mustaffa Wan Ismail serta jurulatih penjaga gol kebangsaan, Omar Salim.
Sementara itu, pihak persatuan telah memberi tanggungjawab kepada Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (task force), Dato’ Abdul Mokhtar Ahmad yang juga Timbalan Presiden FAM untuk memulakan proses pencarian jurulatih asing bagi skuad kebangsaan pada masa akan datang, jika difikirkan sesuai.