Nama barisan kejurulatihan baharu Sarawak FA selepas AGM FAS

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Posa Majais dipetik akhbar Utusan Borneo sebagai akan mengumumkan nama barisan kejurulatihan baharu selepas Mesyuarat Agung Dwitahunan (AGM) FAS 2018/2021 di Limbang.

FAS dikatakan masih meneliti calon jurulatih bagi Sarawak FA buat masa ini.

Beliau dikatakan tidak mahu terburu-buru memilih barisan kejurulatihan bagi musim hadapan, termasuk pemilihan ketua jurulatih baharu Sarawak FA.

Dalam laporan Utusan Borneo, Posa dipetik sebagai berkata beliau mahu memilih “calon terbaik dan berwibawa untuk membawa cabaran Sarawak pada musim depan”.

Dalam satu kenyataan media baru-baru ini Posa mengumumkan bahawa semua pemain, jurulatih dan pengurusan Sarawak FA musim ini akan dibubarkan dan diganti dengan yang baharu.

Untuk rekod, ketua jurulatih Sarawak FA kini adalah Ian Gillan dan beliau dilaporkan mempunyai kontrak dua tahun bermula hujung tahun 2017.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top