Malaysian Football League (MFL) hari ini telah mengeluarkan jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier yang dikemaskini daripada kesinambungan jadual Liga Malaysia yang asal sebelum ditangguhkan akibat penularan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Kerajaan Malaysia pada 18 Mac lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, Liga Malaysia kembali bersambung 26 Ogos 2020 di mana perlawanan akan dilangsungkan secara satu pusingan bermula minggu kelima sehingga minggu ke-11.

Kata Dato’ Ab Ghani, perancangan jadual turut mengambil kira persiapan pasukan kebangsaan bagi menghadapi Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 (FIFA dan AFC) pada bulan Oktober dan November 2020.

Bagaimanapun, Dato’ Ab Ghani menegaskan MFL sedang memantau perkembangan terkini Wabak COVID-19 di Sabah dan Sarawak dan sebarang keputusan ke atas pasukan Sabah, Sarawak United FC dan Kuching FA akan dimaklumkan sekiranya terdapat sebarang perubahan.

“Sehubungan dengan itu, buat masa ini Jadual perlawanan Liga Malaysia 2020 adalah kekal seperti yang diedarkan.

“Penundaan tarikh Asian Champions League 2020 yang melibatkan pasukan Johor Darul Ta’zim (17 Oktober hingga 4 November 2020) turut diambil kira di mana perancangan pihak penyiar rasmi dan komersial yang telah dirangka lebih awal oleh MFL.

“Sementara perlawanan tertunda yang melibatkan perlawanan CIMB Liga Super 2020 di antara PJ City FC melawan Terengganu FC dan Liga Premier 2020 di antara UKM FC melawan Kelantan akan dimainkan pada hari Sabtu, 22 Ogos 2020,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Dalam perkembangan sama, Dato’ Ab Ghani memberitahu perlawanan akan diadakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) perlawanan tanpa penonton seperti yang ditetapkan oleh MFL sebelum ini.

Jelasnya, beliau mengingatkan semua pasukan hendaklah mematuhi arahan seperti yang ditetapkan di dalam SOP pengelolaan perlawanan yang telah diberikan kepada setiap pasukan bertanding.

“Sebarang pelanggaran kepada SOP merupakan satu kesalahan yang berat dan menyalahi Akta 342: Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“SOP Pengelolaan Perlawanan Liga Malaysia 2020 adalah turut terpakai bagi pengelolaan perlawanan persahabatan bermula 2 Ogos 2020,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Ab Ghani turut menjelaskan pelaksanaan pindaan sementara peraturan pertandingan yang membenarkan pertukaran daripada tiga kepada lima pemain dalam satu perlawanan.

“Setiap pasukan dibenarkan untuk menggunakan penggantian pemain simpanan maksimum seramai lima orang.

“Bagi mengurangkan gangguan terhadap perjalanan perlawanan, setiap pasukan diberikan maksima 3 peluang pertukaran semasa perlawanan; pertukaran pemain juga dibenarkan semasa rehat separuh masa.

“Sekiranya kedua-dua pasukan membuat pertukaran dalam masa yang sama, ianya akan dikira sebagai salah satu dari tiga peluang pertukaran yang diberikan kepada setiap pasukan.

“Pemain simpanan dan peluang pertukaran pemain yang tidak digunakan sepanjang tempoh perlawanan sebenar (90 minit), boleh dibawa dan digunakan semasa masa tambahan sekiranya ada.

“Bagi peraturan pertandingan yang membenarkan pertukaran pemain semasa permainan masa tambahan, pasukan akan mempunyai satu peluang pertukaran tambahan; pertukaran pemain juga boleh dibuat sebelum bermulanya permainan masa tambahan dan semasa rehat separuh masa permainan masa tambahan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Ab Ghani juga menegaskan format kelayakan dan penyingkiran kekal seperti biasa di mana dua pasukan terbawah CIMB Liga Super 2020 akan turun ke Liga Premier musim 2021 sementara dua pasukan teratas Liga Premier akan naik ke Liga Super musim 2021.