Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), Dr. Amar Pritpal Abdullah mengalu-alukan kerjasama dengan Malaysian Football League (MFL) dalam usaha mengangkat liga negeri iaitu Divisyen 1, Divisyen 2 dan Divisyen 3 menjadi platform menyertai Liga M4.

Jelas Amar, FAP sentiasa komited untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pengendali Liga Malaysia itu sebagaimana wakil Utara tersebut giat untuk menguatkan struktur liga negeri bertaraf amatur itu.

Tips & maklumat berkenaan FPL dari Malaysia

Katanya lagi, beliau menarik nafas lega selepas FAP telah diberikan penjelasan terperinci mengenai peranan dan fungsi Liga M3 dan Liga M4 dalam kalendar bola sepak Malaysia daripada MFL sekali gus memudahkan FAP mengukuhkan struktur liga negeri bertaraf amatur menerusi kerjasama MFL.

“Saya memang gembira kerana dapat mengadakan perbincangan dengan MFL dan kita telah berbincang beberapa isu tentang bola sepak dan saya mengalu-alukan MFL datang dan membantu kita dalam mengendalikan liga kita di Pulau Pinang iaitu Divisyen 1, Divisyen 2 dan Divisyen 3.

“Saya tidak akan tukar struktur liga-liga di Pulau Pinang kerana saya tegas dan mahu (setiap pasukan amatur) bermula daripada daerah.

“Kita belum bincang secara terperinci apa yang kita harus buat. Saya belum berikan kata putus tetapi memang saya beritahu jika boleh mahu menguatkan liga, gunakan pasukan-pasukan daripada Divisyen 1, johan dan naib johan Divisyen 2 dan Divisyen 3,” katanya.

Turut hadir dalam mesyuarat berkenaan adalah Timbalan Presiden FAP, Datuk Abdul Rashid Ismail dan Pengurus Besar Amateur Football League (AFL) Hairul Azlee Mansor.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam menafikan kononnya satu liga amatur telah diberikan kebenaran daripada MFL tanpa persetujuan daripada rakan kongsi.

Sebaliknya Kevin menegaskan pihaknya sentiasa akan memberikan sokongan teguh kepada setiap rakan kongsi dalam usaha memartabatkan bola sepak tempatan dan tidak sesekali membelakangi FAP khususnya dalam isu ini.

“Bagi MFL, kita sentiasa mengikut prosedur sedia ada. Oleh sebab itu bila kita mendapat satu permohonan daripada (pasukan amatur dari) Pulau Pinang, langkah pertama yang kita ambil ialah berjumpa dengan pihak FAP.

“Kita tidak akan meluluskan (permohonan pasukan) tanpa berbincang dengan rakan kongsi MFL iaitu FAP.

“Bagi MFL, itu (bernaung di dalam FAP) adalah satu prosedur dan kemungkinan segelintir pihak menimbulkan kekeliruan bahawa ada liga (amatur) yang telah diluluskan oleh MFL di Pulau Pinang tetapi saya boleh mengatakan dengan jelas bahawa ia tidak benar.

“MFL tidak pernah meluluskan mana-mana liga (amatur) di sini tanpa berbincang dengan rakan kongsi kita, FAP.

“Apa yang kita telah bincangkan adalah dengan usaha MFL melabur dan membantu setiap rakan kongsi kita dengan cara-cara berbeza mengikut keperluan rakan kongsi masing-masing, kita telah berjumpa satu platform di Pulau Pinang selepas berbincang dengan FAP untuk kita sama-sama lihat pelaburan ke dalam pembangunan akar umbi di sini menerusi liga negeri mereka yang telah wujud sekian lama,” ujarnya