Dahulu Liga Komuniti dianggap benda yang asing dalam fraterniti bola sepak Malaysia. Mereka dianggap pasukan haram yang beraksi dalam liga haram sedangkan mereka sebenarnya lebih profesional dan faham erti sebenar bola sepak berbanding sesetengah FA.
Sebagai contoh, Shah Alam Antlers di Shah Alam, Selangor dilihat mempunyai lebih daya saing berbanding Selangor FA. Mereka mencari dana sendiri dan pengurusan berjaya mengurus kewangan pasukan dengan telus dan berjaya.
Atas sebab itulah semua daerah atau bahagian di Sarawak perlu mempunyai pasukan komuniti sendiri. Beberapa faktor positif menyumbang kepada penubuhan pasukan komuniti ini.
Pertama adalah perasaan memiliki pasukan itu lebih menebal. Orang kenamaan atau orang kaya di daerah kini mampu menjadi pemilik pasukan dan penyokong akan mempunyai akses langsung kepada hal ehwal pasukan menerusi pemilikan penyokong.
Kedua, lebih banyak bakat baru mampu dilahirkan untuk negara. Bayangkan setiap pasukan mempunyai 25 bakat tempatan dan Liga Sarawak sahaja akan menghasilkan 300 bakat baharu setiap tahun melalui 12 pasukan daerah. 300 bakat terbaik ini akan mempunyai masa bermain di peringkat kompetitif terbaik.
Dari 300 pemain ini 10% yang terbaik boleh diketengahkan ke pasukan utama Sarawak di liga yang lebih atas atau pertandingan antara negeri seperti SUKMA. Secara tidak langsung Sarawak akan menjadi kilang pemain muda di masa akan datang.
Sarawak bukanlah kekurangan bakat pemain yang berbakat dan perkara ketiga yang mampu menjadi realiti jika Liga Komuniti benar-benar wujud dan maju adalah ia akan memberi tamparan kepada pasukan Sarawak FA.
Malu jika sebuah FA mendapati pasukan Liga Komuniti mampu mendapatkan dana dan diterajui dengan profesional. Ia sekaligus memastikan pihak pengurusan untuk lebih berhati-hati dalam memilih exco untuk mengepalai persatuan.
Banyak lagi faktor positif yang boleh dikupas. Namun 3 faktor ini lah yang harus diletakkan sebagai filosofi semua pasukan daerah. Dan melalui kaedah inilah impian semua untuk melihat kempen #bubarsarawakfa akan menjadi kenyataan. – SARAWAKCROCS.COM/JJF