Siapa tidak kenal Joseph Kalang Tie?

Pemain kecil tetapi cukup licik di atas padang ini adalah antara pemain pujaan ramai kerana kesungguhan dan bakat beliau yang sememangnya menakjubkan di atas padang.

Pada pemerhatian SarawakCrocs.com, Joseph merupakan aset yang amat penting bagi mana-mana pasukan yang memilikinya, dan ini terbukti apabila peminat Sarawak khususnya, sering tidak senang duduk apabila Joseph mula terhenjot-henjot di dalam mana-mana perlawanan.

SarawakCrocs.com dalam pada itu sempat mendapat respon daripada bekas pemain Hartlepool United ini berkenaan mengapa beliau kembali ke Sarawak, sedangkan dia sememangnya ada ditawarkan kontrak lebih lumayan jika berkhidmat dengan pasukan lain di dalam Malaysia.

Maklum balas Joseph ternyata ringkas, tetapi amat mendalam apabila beliau berkata “Sememangnya saya ada ditawarkan kontrak dari pasukan lain bagi tahun 2014, tetapi, saya rasa, masih banyak yang saya perlu sumbangkan untuk Sarawak, negeri kesayangan saya”.

Apabila ditanya berkenaan harapan beliau bagi musim hadapan, Joseph menjelaskan bahawa tahun 2014 adalah berbeza dari tahun 2013 dan beliau enggan terlalu ghairah untuk menjangkakan piala bagi Sarawak pada musim hadapan.

Tambah beliau, “Saya ingin fokus kepada setiap perlawanan kerana untuk memenangi sebarang piala, kami mesti bekerja lebih keras daripada pasukan lain.”