Pasukan Kuching FA bakal melayan kunjungan pasukan Terengganu FC II malam ini dan pertembungan kedua – dua pasukan bakal menentukan hala tuju pasukan masing – masing di Liga Premier.
Biarpun musim 2020 baru sahaja bermula, namun dua kekalahan yang dialami oleh Kuching FA di dalam perlawanan awal tidak boleh dipandang enteng.
Malahan, jika Kuching FA terus tewas malam ini, kemungkinan pasukan tersebut menghuni tangga terbawah Liga Premier adalah mungkin dan ini sudah pasti tidak baik untuk moral pemain dan penyokong pasukan tersebut.
Teregganu FC II yang merupakan pasukan simpanan pasukan Terengganu FC pula dilihat sangat ampuh untuk bertemu Kuching FA.
Pasukan yang dilatih oleh Nafuzi Mohd Zain itu telah memenangi dua perlawanan Liga Premier mereka dan kini di kedudukan kedua Liga Premier.
Kemenangan ke atas Kuching FA akan meletakkan pasukan tersebut semakin teguh di bahagian puncak Liga Premier.
Menariknya, Terengganu II adalah satu – satunya pasukan yang belum dibolosi di Liga Premier buat masa ini, dan ini menggambarkan bahagian pertahanan pasukan tersebut sebagai kunci utama kepada kejayaan mereka setakat ini.
Percaturan kedua-dua Kuching FA dan Terengganu II malam ini semestinya menarik dengan kemenangan pasti didambakan oleh kedua – dua pasukan.
Mampukah Kuching mempergunakan kelebihan di tempat sendiri malam ini?