Malaysia menang lawan New Caledonia

Skuad kebangsaan, Harimau Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee berjaya mencatat kemenangan sulung dalam siri Jelajah Oceania 2016 selepas menewaskan New Caledonia 2-1 pada perlawanan persahabatan antarabangsa “A” di Stade Numa Daly, Noumea, malam tadi.

Selepas tewas 2-0 kepada Papua New Guinea pada aksi pertama jelajah di Port Moresby, 17 Jun lalu, Malaysia dikejutkan gol pendahuluan New Caledonia, pasukan ranking ke-183 dunia menerusi Jean-Philippe Saïko pada minit ke-20 untuk tuan rumah mendahului 1-0 pada separuh masa pertama.

Namun Malaysia bangkit pada babak kedua apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyudah kemas Amirulhadi Zainal pada minit ke-48 disusuli gol kemenangan jaringan Baddrol Bakhtiar menerusi sepakan percuma pada minit ke-54.

Malaysia bagaimanapun terpaksa beraksi 10 pemain selepas Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dibuang padang akibat menerima kad kuning kedua kerana didakwa pengadil sengaja melengahkan permainan ketika pemain sayap itu mahu digantikan dengan S Chanthuru pada minit ke-82.

New Caledonia kendalian Thierry Sardo kemudian turut terpaksa menamatkan permainan dengan 10 pemain selepas Georges Béaruné menerima layangan kad kuning kedua pada minit ke-88.

 Skuad Harimau Malaysia seterusnya bakal melengkapkan siri Jelajah Oceania 2016 dengan aksi ketiga dan terakhir bertemu Fiji (ranking 186) di Nadi pada Ahad ini (26 Jun).

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top