Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain mengakui prestasi Selangor FC semakin garang sejak di bawah kendalian Tan Cheng Hoe sekaligus menjangkakan aksi yang bukan mudah di separuh akhir TM Piala Malaysia.
Sepertimana di saingan separuh akhir Piala FA musim ini, Terengganu berdepan lawan sama menyaksikan mereka perlu beraksi sehingga ke penentuan sepakan penalti sebelum akhirnya layak ke final.
Namun kali ini Nafuzi menganggap skrip yang berbeza akan dihadapi melihat kepada prestasi Selangor ketika ini dengan kehadiran pengendali baharu, Tan Cheng Hoe yang pastinya mempunyai ramuan tersendiri dalam memburu slot ke final.
Justeru, beliau mahu anak buahnya lebih berwaspada dalam memastikan bekalan selesa dapat dibawa ke perlawanan kedua separuh akhir nanti.
“Kita tahu aksi separuh akhir Piala FA sebelum ni pun, kita berjumpa Selangor, tetapi kali ini separuh akhir Piala Malaysia akan berbeza, tidak akan sama.
“Sebab sekarang kita tahu Selangor yang sekarang ini bukan Selangor yang sebelum ini apabila kini berada di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe, boleh nampak perubahan positif beliau bawa.
“Jadi ia akan menjadi perlawanan yang bukan mudah dan mereka pun masih belum tewas juga sepanjang saingan berlangsung dan kita akan cuba mendapatkan bekalan yang selesa untuk dibawa ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin nanti”, jelasnya.
Dalam pada itu, Nafuzi berpuas hati dengan tahap kecergasan barisan pemainnya untuk mengharungi cabaran seterusnya di separuh akhir selain penjaga gol, Suhaimi Hussin juga sudah boleh beraksi selepas dilayangkan kad merah pada aksi pertama suku akhir sebelum ini.
Namun, beliau masih lagi belum memutuskan siapa yang akan diturunkan memandangkan Rahadiazli Rahalim juga dalam prestasi yang terbaik.
“Berkenaan pemain, semua berada dalam keadaan yang baik dan penjaga gol, Suhaimi pun dah boleh bermain cuma saya akan tentukan adakah Suhaimi atau Rahadiazli yang akan diturunkan nanti.
“Sebab kita tahu kedua-dua ini adalah penjaga gol yang bagus dan bagi saya pening memikirkan untuk memilih yang terbaik itu adalah benda yang positif juga.
“Inilah cabaran sebenarnya apabila kita ada pilihan pemain yang berkualiti, bukan senang untuk saya pilih siapa yang akan diturunkan nanti”, tambahnya.
Pertembungan antara Selangor dan Terengganu akan berlangsung pada Rabu ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. – MFL