Home Malaysian football Main ‘pintu belakang’ menyakitkan Liga Malaysia

Main ‘pintu belakang’ menyakitkan Liga Malaysia

Umum tahu bahawa pasukan Selangor United akan dijenama semula menjadi Sarawak United dengan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) bakal mengawal dan memiliki pasukan tersebut pada musim hadapan.

Sungguhpun demikian, laman Facebook La Bola Malaya mendakwa bekas penyerang Sarawak FA, yang juga merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan Malaysia, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, berkata tindakan tersebut tidak sihat untuk perkembangan bola sepak Liga Malaysia.

Laporan La Bola Malaya memetik Akmal sebagai berkata bahawa “Secara undang-undang ia adalah sah namun daripada segi moral pertukaran pemilikan Selangor United kepada Sarawak United adalah tindakan yang tidak profesional.”

Akmal juga didakwa berkata “Ya, daripada sudut undang-undang kita tidak boleh mempertikannya kerana ia memenuhi semua prosedur ditetapkan serta sudah diluluskan oleh Pesuruhjaya Sukan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

“Tapi, daripada sudut moral, ia adalah sesuatu yang boleh dipertikaikan.

“Semua orang tahu Sarawak sudah jatuh ke Liga M3 musim depan tapi pengambilalihan Selangor United adalah jalan ‘pintu belakang’ yang mereka gunakan untuk kekal dalam Liga Perdana.

“Bayangkan daripada Selangor United tiba-tiba jadi Sarawak United, memang janggal bunyinya, lainlah kalau bertukar jadi Selangor FC atau Selangor City.

“Ia juga amat tidak adil kepada pasukan Liga M3 yang bertungkus-lumus bersaing untuk merebut tempat ke Liga Perdana termasuk kepada Kuching FA yang terpaksa bermain play off untuk layak.

Akmal dalam pada itu juga didakwa lebih senang sekiranya pasukan Selangor United menarik diri dari Liga Malaysia jika tidak mampu lagi beroperasi.

Beliau juga didakwa berkata adalah lebih baik pasukan Liga M3 atau perlawanan play-off dibuat bagi mencari pengganti pasukan Selangor United yang menarik diri.

Dalam pada itu, Akmal didakwa berkata perbuatan FAS mengambilalih Selangor United dan menjenama semula pasukan tersebut adalah “adalah sesuatu yang tidak sihat untuk liga kita dan jika tidak dibendung akan menjadi trend serta ikutan pasukan lain”.

Pengambilalihan Selangor United oleh FAS telah dipersetujui oleh Malaysia Football League secara dasarnya dan kini hanya menunggu kelulusan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Pesuruhjaya Sukan.

RECOMENDED LINKS: