Mahkota juara terbuka luas

KUCHING: Ketua Jurulatih Sarawak, Robert Alberts berkata bahawa anak-anak buahnya perlu memenangi kesemua perlawanan jika mereka berhasrat untuk muncul juara Liga Perdana musim ini.

Katanya, persaingan bagi merebut kejuaraan hanya terbuka kepada Sarawak dan Sime Darby FC ketika ini dengan perbezaan dua mata sahaja.

Kedua-dua pasukan masih belum tewas setelah melalui 15 perlawanan.

“Kita bukan sahaja perlu menewaskan Sime Darby FC, tetapi memenangi kesemua perlawanan jika berhasrat untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana musim ini,” katanya.

Alberts berkata, memang Sime Darby FC merupakan sebuah pasukan terkuat ketika ini namun kita tidak harus memandang rendah keupayaan pasukan-pasukan lain yang bakal kita tempuhi seperti Johor dan Sabah.

“Bagi saya, kejutan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja jika kita tidak bersedia,” akuinya sambil berharap semua pemain mengekalkan prestasi cemerlang pada setiap perlawanan.

Justeru, Alberts mengingatkan kepada para pemain agar memperbaiki mutu permainan mereka yang dilihatnya masih ada kelemahan dan kepincangan.

“Ini adalah masa yang cukup penting bagi semua pemain memantapkan permainan mereka masing-masing, kerana liga hanya berbaki tujuh perlawanan sahaja lagi.

“Kami tidak rela berputih mata pada akhir saingan akibat kecuaian dan kealpaan para pemain kita sendiri,” katanya penuh bersemangat.

Bagaimanapun, jurulatih dari Belanda itu tetap berbangga dengan prestasi anak-anak buahnya yang masih mengekalkan momentum selaku pasukan pilihan untuk bergelar juara.

Sarawak sepatutnya menentang KL Pos Malaysia FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor semalam (6 Mei) namun perlawanan itu ditunda gara-gara Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelmarin.

“Prestasi Pos Malaysia semakin baik sejak kebelakangan ini dan ia perlu kita beri p e r – hatian pada perlawanan itu nanti.

“Saya yakin, mereka pastinya mahu membalas dendam kekalahan 0-2 di Stadium Negeri pada pusingan pertama lalu,” katanya.

Namun, Alberts tetap akan menyiapkan ‘resipi istimewa’ untuk anak-anak buahnya memburu kemenangan demi kemenangan dalam baki beberapa perlawanan pusingan kedua ini.

Menurutnya, ‘mood’ semua pemain untuk melakar kemenangan kini masih memuncak kejayaan selepas menewaskan KL SPA di laman sendiri, Stadium Negeri Kuching pada Jumaat lalu.

Sarawak akan menentang pendahulu liga, Sime Darby FC di gelanggang sendiri (Stadium Negeri) pada Jumaat ini (10- Mei).

Source: Utusan Borneo

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top