Pasukan bimbingan David Usop akhirnya mendapat kemenangan yang dicari apabila menewaskan pasukan Pulau Pinang 0-1 di Stadium Batu Kawan sebentar tadi.
Perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun pasukan Pulau Pinang FA dilihat lebih bahaya dengan beberapa kali berjaya menembusi benteng pertahanan Sarawak, hanya dikecewakan oleh penjaga gol Sarawak, Shahril Saari.
Pasukan Sarawak FA yang menurunkan Abdul Rahim sebagai penyerang terpaksa mengeluarkan pemain muda tersebut pada awal perlawanan ekoran kecederaan.
Kedudukan kekal terikat tanpa jaringan sehingga babak pertama tamat.
Pada babak kedua, perlawanan semakin rancak dengan pasukan tuan rumah meneruskan asakan mencari gol pendahuluan perlawanan.
Sungguhpun demikian, satu serangan kilat daripada pasukan Sarawak FA pada minit ke 72 menyaksikan Mark Hartmann merembat masuk gol pertama perlawanan.
Pulau Pinang FA enggan menyerah, dan Diogo Ferreira hampir menyamakan kedudukan untuk pasukan tuan rumah, namun rembatan beliau diselamatkan lagi oleh Shahril.
Dengan perlawanan mendekati masa penuh, pasukan Pulau Pinang FA terus mengasak untuk gol penyamaan, namun kekebalan benteng pertahan Sarawak FA terus mengecewakan pasukan tuan rumah sehingga wisel penamat.
FT Pulau Pinang FA 0-1 Sarawak FA