Pasukan Bujang Senang berjaya memungut satu mata dari perlawanan Borneo Derby di Stadium Likas malam ini.
Perlawanan menyaksikan Ian Gillan turun buat pertama kalinya di bangku pemain selepas beliau dilantik sebagai Ketua Jurulatih Sarawak FA yang baharu tahun lepas.
Bermula wisel pertama, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan pasukan Sabah FA membuat serangan kilat yang mengucar-ngacirkan kawasan pertahanan Sarawak FA yang diketuai oleh Hairol Mokhtar.
Sungguhpun demikian, pasukan Sarawak FA perlahan-lahan mula mengawal perlawanan, dan hasilnya, Mateo Roskam menolak bola masuk ke gawang Sabah FA pada minit ke-19, selepas penjaga gol Sabah FA, Rawilson gagal menangkap bola yang dihantar masuk ke kawasan penalti.
Sabah terus cuba mencari gol penyamaan selepas itu, namun hantaran-hantaran yang kurang sempurna menyaksikan perlawanan terus memihak kepada Sarawak FA sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan.
Pada babak kedua, Sabah FA mula mengorak langkah dan mula melancarkan serangan bertali arus ke gawang Sarawak FA, memaksa Sarawak FA bertahan hampir keseluruhan babak kedua.
Sabah FA akhirnya memperolehi gol penyamaanyang dicari apabila Ramos menjaringkan pada minit ke-52 setelah tandukannya gagal diselamatkan penjaga gol Sarawak, Firdaus.
Sabah terus meningkatkan serangan mereka ke atas kubu Sarawak, namun pertahanan pasukan pelawat terus ampuh sehingga 90 minit perlawanan.
Di minit-minit terakhir perlawanan, Sabah seolah-olah bakal membawa pulang mata penuh apabila dihadiahkan sepakan penalti, namun rembatan kencang Lee Gil Hoon terkena palang, sekaligus menyaksikan perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1.