Liga M3 distruktur semula kepada dua kumpulan

Amateur Football League (AFL) mengumumkan saingan Liga M3 bakal distrukturkan bermula musim ini sebagai langkah persediaan menyiapkan pasukan-pasukan amatur kepada semi-pro bermula pada musim 2021.

Pengerusi AFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, sebagai langkah pertama, saingan Liga M3 musim ini akan membenarkan tambahan penyertaan pasukan dari 14 pada musim lalu kepada 20 pasukan secara maksimum yang akan diasingkan kepada dua kumpulan.

Pada musim 2021, hanya 12 pasukan terbaik dan yang memiliki rekod kewangan baik akan dibenarkan beraksi di saingan Liga M3 manakala lapan lagi pasukan akan bersaing di Liga M4.

Empat lagi pasukan terbaik dari saingan Liga M4 pada musim 2020 akan melengkapi jumlah 12 pasukan yang akan bersaing pada 2021.

Manakala liga-liga yang dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak Negeri ataupun Liga Swasta yang diiktiraf oleh AFL akan diselaraskan menjadi M5 bermula tahun 2021.

“Kita perlu memperbaiki struktur Liga M3 kerana AFL mahu memastikan standard liga ini tidak begitu jauh dengan Liga Premier jika mereka dapat dipromosikan pada masa akan
datang. Kita mahu pasukan-pasukan lebih bersedia untuk dipromosikan ke Liga Premier nanti.

“Jadi jangkaan kami pada tahun 2021, status Liga M3 bakal menjadi semi pro manakala kelompok pasukan amatur akan bersaing dalam M4,” katanya pada majlis taklimat Liga M3 di Wisma FAM, pada Sabtu.

Perubahan yang diperkenalkan oleh AFL ini dijangka akan memperjelaskan lagi stuktur Liga Malaysia dengan secara langsung mengurangkan masalah kewangan yang sering menjadi duri dalam daging untuk pasukan-pasukan Liga Malaysia.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top