3 JULAI – Persatuan Bolasepak Kapit (Kapit FA) telah mengambil keputusan menunda tarikh bermulanya Liga Kapit yang akan menawarkan hadiah bernilai lebih RM13,600.
Menurut kenyataan yang diterima, Liga Kapit kini akan berlangsung dari 21 Julai, dengan perasmian dibuat oleh Y.B. Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan pada 22 Julai.
Nuwin Lium, Timbalan Presiden Kapit FA, yang merupakan Pengerusi Pertandingan Tempatan, menyatakan bahawa penangguhan Liga Kapit adalah disebabkan isu teknikal.
Liga yang akan menempatkan lapan pasukan bolasepak terbaik Kapit itu dijangka akan tamat sebelum Piala Sarawak bermula dengan hadiah juara liga adalah wang tunai RM5,000 beserta voucher, piala dan pingat.
Adalah difahamkan, jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM13,600, dengan pasukan di tempat kedua dan ketiga juga dihadiahkan wang tunai, voucher, dan pingat.
Pasukan yang berminat untuk menyertai Liga Kapit boleh mendapatkan borang penyertaan bermula esok, daripada Encik Omar Masam di Jabatan Bomba Dan Penyelamat Kapit dan Encik Nuwin Lium di Pejabat Residen Bahagian Kapit berkuatkuasa.
Tarikh tutup penyertaan adalah pada jam 5 Petang, 14 Julai ini. – sarawakcrocs.com