Biarpun menjadi pasukan baru di dalam Liga Bolasepak Rakyat (LBR), pasukan bahagian terbaharu Sarawak, Serian FA terus gah mengorak langkah di Liga Bolasepak Rakyat Kebangsaan (LBRK).
Hari ini, pasukan Serian FA berjaya menempah tempat ke suku akhir peringkat kebangsaan setelah menumpaskan Keningau dengan jaringan 2-1.
Kemenangan tersebut merupakan kemenangan ke tiga dari enam perlawanan Kumpulan C.
Prestasi yang hebat dari pasukan Serian FA turut menyaksikan mereka mara ke suku akhir LBRK dengan 11 mata hasil 3 kemenangan dan 2 kali seri.
Selaku johan Kumpulan C, Serian FA kini dijangka bertemu Kangar FA di suku akhir pertama LBRK pada 15 April 2017 di laman sendiri di Stadium Mini Serian.
Pada minggu berikutnya, Serian pula akan bertandang ke Perlis untuk perlawanan suku akhir kedua pada 22 April 2017.
Di atas kertas, Serian FA dilihat berupaya memastikan kejuaraan LBRK kekal di Sarawak selepas Kuching FA memenangi kejohanan tersebut pada edisi sulung musim lalu.