Pasukan Serian FA tewas melalui aggregat gol di tempat lawan kepada Gua Musang di dalam perlawanan Akhir Liga Bolasepak Rakyat Kebangsaan (LBRK) di Stadium Negeri malam ini tadi.
Gol Serian dijaringkan oleh Mohd Ibrahim Jobeli pada init ke-20, manakala Mohd Azizul Hakimi menjaringkan gol untuk pasukan Gua Musang pada minit ke-23 hasil keadaan kucar kacir di hadapan pintu gol Serian FA.
Pada minit ke-24, Serian FA terpaksa bermain dengan sepuluh pemain apabila Mohd Hadera Bakeri dilayangkan kad merah.
Kekurangan satu pemain menyaksikan Ketua Jurulatih Serian Rozaini Romainor, memasukkan pemain pertahanan tengah Abbell Akwensivie dan mengeluarkan Mohamad Ibrahim Jobeli.
Kelebihan satu pemain lebih milik Gua Musang digunakan sepenuhnya oleh pasukan pelawat untuk mengasak pintu gol Serian FA namun ketangkasan Rizal Ahmad menyaksikan penyerang-penyarang Gua Musang terus kecewa sehingga tamatnya babak pertama.
Pada babak kedua, Gua Musang yang bermain dengan kelebihan seorang pemain akhirnya berjaya menjaringkan gol pendahuluan, sekaligus menyamakan kedudukan dari segi aggregat kepada 2-2.
Gua Musang terus mengasak selepas itu, dengan kelebihan gol di tempat lawan, dan akhirnya berjaya mengekalkan keputusan untuk memihak kepada mereka, sekaligus menjulang LBRK buat kali pertama.