LBR Kebangsaan: Miri FA ikat Rantau Panjang

LBR Kebangsaan menyaksikan pasukan Miri FA dan pasukan Rantau Panjang seri apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Miri FA yang mengharapkan kemenangan i sendiri terpaksa berpuas hati setelah seri menentang Rantau Panjang – EJ-D dalam aksi Liga Bolasepak Rakyat peringkat suku akhir sabtu lalu.

Pasukan Miri yang masih sedang pulih dari tragedi kemalangan semasa menentang Keningau beberapa minggu lalu terpaksa beraksi tanpa beberapa tonggak utama dalam perlawanan tersebut.

Pasukan Miri mula mencetak gol melalui satu tandukan dari M Nur Arshad yang menerjah gawang seawal minit ke 17 perlawanan berpunca dari lontaran dalam jauh dari sebelah kanan pintu gol lawan.

Tersentak dengan gol awal tersebut, Rantau Panjang cuba memperkemaskan permainan dan mengasak dengan lebih hebat. Hasilnya, mereka berjaya menjaringkan gol penyamaan setelah berlaku pergelutan di depan tiang gol berpunca daripada sepakan percuma pihak lawan.

Separuh masa kedua menyaksikan pasukan Rantau Panjang lebih menguasai permainan. Namun, pasukan Miri ternyata bijak mengawal rentak serangan lawan.

Hadi Syahmi berjaya menjaringkan gol kedua pasukan Miri hasil rembatan deras dari luar kotak penalti pada minit ke 53.

Keceriaan pasukan Miri tidak kekal lama apabila pemain pertahanan pasukan Miri telah menjaringkan bola ke gawang sendiri semasa sedang cuba menampan serangan pihak lawan.

Perlawanan berkesudahan dengan keputusan seri 2-2. Pasukan Miri dijadualkan akan bertandang ke Rantau Panjang minggu depan dalam perlawanan timbal balik Liga Bolasepak Rakyat peringkat suku akhir kebangsaan.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top