Pasukan Kuching FA mempergunakan sepenuhnya peluang yang ada di tempat sendiri dengan memungut tiga mata berharga di dalam perlawanan penting menentang Kelantan United malam ini tadi.
Perlawanan yang dilabel sebagai ‘Match of the season’ oleh pihak Amateur Football League (AFL) menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan seawal wisel perulaan.
Kuching berjaya menjaringkan gol pembukaan perlawanan melalui rembatan kencang Zainuddin pada minit ke-6 memberikan kelebihan kepada pasukan warga kota itu.
Kuching terus cuba mengasak, namun beberapa peluang keemasan melalui Yuta Suzuki dan Joseph Kalan Tie gagal menemui sasaran.
Bermula babak kedua, Kelantan mula menunjukkan lebih komitmen untuk menyerang sekaligus memaksa Kuching bertahan dan hanya melancarkan serangan-serangan kilat.
Serangan kilat Kuching cukup merbahaya sehingakan ianya membawa kepada gol kedua untuk Kuching dengan penyerang sensasi Sufizal Ismail menjadi hero pasukannya pada minit ke-52 apabila menanduk masuk hantaran Zainuddin.
Kelantan mengasak untuk merapatkan jurang pada babak kedua dan Iqbal Suhaimi terpaksa bekerja keras untuk mengekang asakan Kelantan, termasuk membuat satu layangan badan cantik pada minit ke-70.
Pada minit terakhir perlawanan, Kelantan akhirnya berjaya menembusi kekebalan benteng Kuching bagi merapatkan jurang gol.
Insiden itu walaubagaimanapun disertai oleh beberapa pertengkaran yang menyaksikan beberapa pemain Kelantan diberikan kad kuning.
Jurulatih Kelantan juga telah diarahkan keluar padang selepas mengingkari arahan pengadil perlawanan.
Kuching enggan membenarkan insiden tersebut menggangu konsentrasi permainannya dan terus gah mempertahankan keputusan 2-1 sehingga wisel penamat, sekaligus menyaksikan pasukan Kuching FA menumbangkan pasukan Kelantan United, yang juga merupakan pendahulu Liga M3 kini.
Kemenangan Kuching ini bermakna jarak mata antara Kuching dan Kelantan semakin berkurangan kepada 6 dengan Kuching memiliki kelebihan satu perlawanan di dalam tangan.
FT Kuching FA 2-1 Kelantan United