Kuching City FC (Kuching FA) tidak menunggu sehingga tamat perlawanan Liga Premier menentang Negeri Sembilan untuk merancang persediaan mereka untuk perlawanan akan datang di dalam Liga Premier.

Biarpun mengakui pasukan Negeri Sembilan adalah pasukan yang kuat, empat jaringan pada babak pertama perlawanan menyaksikan Kuching sudah selesa untuk mempertahankan kemenangan mereka, dan sekaligus melakukan pertukaran pemain bagi memastikan mereka boleh mencabar apabila pasukan tersebut bertemu JDT II kelak.

Perkara ini diakui Jurulatih Kuching FA, Ahmad Nurfaizal yang mengakui bahawa pasukannya telah melakukan pertukaran pemain pada babak kedua bagi memastikan pasukannya bersedia untuk menghadapi JDT II kelak.

“Kita lebih fokus kepada perlawanan akan datang dan melihat kepada kecederaan pemain sebelum melakukan sedikit pertukaran bagi mengekalkan momentum dan konsistensi perlawanan hari ini” jelas Ahmad kepada pemberita selepas perlawanan.

“Ini adalah supaya kita bersedia untuk dua perlawanan akan datang, yakni JDT II dan Kuala Lumpur.

“Sudah pasti kita sasarkan kemenangan pada perlawanan tersebut dan kita kena konsisten dalam mencatur semula pemain.” jelasnya lagi.

Kuching akan melayan kunjungan JDT II minggu hadpan di Stadium Negeri, sebelum pasukan tersebut ke Kuala Lumpur untuk perlawanan terakhir Liga Premier musim ini.