Kedudukan Kuching City FC (Kuching FA) meningkat terus ke kedudukan ke-enam Liga Premier selepas semua perlawanan Liga Premier selesai dimainkan malam tadi.

Kuching yang telah menang tiga perlawanan berturut – turut kini mendapati mereka dalam kedudukan baik untuk melayakkan diri ke Piala Malaysia.

Mengikut format TM Piala Malaysia tahun ini, 16 pasukan akan terbaik di Liga Malaysia akan layak secara automatik ke pertandingan berprestij itu.

Mereka akan terdiri daripada 11 pasukan terbaik CIMB Liga Super dan lima pasukan terbaik Liga Premier.

Pasukan simpanan (Reserve Team) tidak layak bertanding, sekaligus menyingkirkan pasukan JDT II dan Terengganu II yang kini di kedudukan ketiga dan ke-empat Liga Premier.

Ini bermaksud, jika Kuching berjaya mengekalkan momentum kemenangan mereka, pasukan kerdil itu akan secara automatik melayakkan diri ke Piala Malaysia musim ini.

Ini adalah kerana Kuching kini tinggal dua perlawanan lagi untuk melengkapkan musim Liga Premier tahun ini.

Sungguhpun demikian, dua pasukan lagi, yakni UKM FC dan Kelantan United masih memiliki satu perlawanan dalam tangan, dan jika kedua – dua pasukan berjaya mengutip mata penuh, kedudukan Kuching ke Piala Malaysia masih pasti, namun belum lagi selamat.

Ini adalah kerana, Kuching akan jatuh ke tangga ke-tujuh, dan akan berada di dalam kedudukan ke-lima antara semua pasukan yang layak bertanding di TM Piala Malaysia 2020.

Sungguhpun demikian, jika kedudukan seperti ini kekal, Kuching akan mencipta sejarah sendiri kerana pasukan yang baru dimulakan pada 2015 itu akan melayakkan diri ke pertandingan Piala Malaysia buat pertama kali.

Jika ini berlaku, Kuching boleh dianggap antara pasukan bola sepak paling berjaya dalam sejarah bola sepak Sarawak dan Malaysia kerana mengambil masa yang sangat singkat untuk bermain bola sepak di peringkat tertinggi walaupun baru berusia lima tahun.

Apa pun, selamat berjaya diucapkan kepada Kuching!