Perlawanan terakhir Liga Premier di antara Kuching FA (Kuching City FC) dan Kuala Lumpur FA telah dijadualkan semula pada 31 Oktober ini.

CEO Malaysia Football League, Dato’ Ab Ghani Hassan mengesahkan MFL turut meminda tarikh perlawanan Liga Premier di antara Kuala Lumpur menentang Kuching FA pada 31 Oktober 2020.

“Terdapat satu perlawanan CIMB Liga Super 2020 (Sabah dan UiTM FC) dan satu perlawanan Liga Premier (Kuala Lumpur dan Kuching FA) yang telah dijadualkan semula akibat isu COVID-19.

“Sebelum ini venue bagi perlawanan di antara Sabah melawan UiTM FC pada 10 Oktober 2020 di Stadium Likas, Kota Kinabalu namun terpaksa diubah selepas kawasan terbabit telah diisytihar sebagai zon merah dan telah menyebabkan PKPB dilaksanakan pada 12.01 tengah malam pada 13 Oktober sehingga 26 Oktober 2020.

“Apa yang pasti, perubahan kalendar ini akan menyaksikan setiap pasukan akan mempunyai tempoh rehat dan perjalanan di antara tiga dan empat hari. Saya berharap agar semua pemain dan pegawai terus mematuhi SOP (Prosedur Operasi Standard) bagi memastikan keselamatan diri dan kelancaran saingan Liga Malaysia 2020,” katanya.

Sebelum ini Kuching telah memohon agar perlawnana terakhir mereka untuk Liga Premier, yakni menentang Kuala Lumpur, dipinda bagi membolehkan pasukan tersebut berkampung terus di Semenanjung Malaysia untuk pertandingan Piala Malaysia kelak.

Ini adalah untuk mengelakkan pemain Kuching dikuarantin kerana peraturan terkini pihak Kerajaan Sarawak telah menetapkan bahawa semua individu yang memasuki Sarawak perlu dikuarantin selama 14 hari apabila tiba di Sarawak bagi membendung penularan Covid-19.

Untuk rekod, Kuching berjaya mencipta sejarah apabila berjaya melayakkan diri ke Piala Malaysia musim ini.