Pasukan Kuching FA kini dalam langkah – langkah akhir untuk menjadi sebuah kelab bola sepak (FC).

Menurut perkongsian pasukan tersebut di media sosialnya, pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang diwakili oleh Pengurus Perlesenan Kelab FAM, Andrew Soorian dan Pengerusi First Instance Body (FIB) Perlesenan Kelab FAM, Sheikh Mohd Nasir telah mengadakan kunjungan ke pejabat Kuching FA untuk membantu pengurusan pasukan tersebut untuk menyelesaikan perkara -perkara berkaitan pemisahan persatuan bola sepak Kuching FA dengan Kelab Bola Sepak Kuching.

Pemisahan tersebut dilihat penting kerana pihak FAM dan MFL memberikan semua kelab di dalam Liga Malaysia sehingga September 2020 untuk memisahkan kedua – dua entiti, dengan Kuching FC kelak menjadi pasukan sendiri.

Menurut perkongsian Kuching FA, pihak FAM telah banyak membantu dalam proses penswastaan ini agar ianya dapat berjalan seperti yang dirancang.

Satu lagi pasukan yang bertapak di Kuching, yakni Sarawak United, telahpun selesai dipisahkan daripada pihak Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) apabila FAS bertindak membeli Selangor United FC dan menukar namanya kepada Sarawak United FC.