Kuching FA sasar kekal di Liga FAM

Pasukan Kuching FA yang akan memulakan kempen Liga FAM pada 12 Februari ini enggan meletakkan harapan terlalu tinggi pada musim pertama mereka,  sambil menyifatkan apa-apa kedudukan melebihi kekal di Liga FAM sebagai saru ‘bonus’. 

Ketua jurulatih Kuching FA, Shahrizan Sahari ketika dihubungi menyatakan bahawa peminat dan pasukan harus realistik dengan sasaran pasukan yang buat pertama kali menjejakkan kaki ke Liga Malaysia, sambil menyifatkan tugas yang menanti kelak bukanlah tugas yang mudah.

Tambah Sharizan, pada musim pertama, sasaran paling penting adalah untuk kekal di Liga FAM kerana dari situ, pasukan Kuching boleh membina kesinambungan untuk kejayaan selebihnya pada masa hadapan.

Sharizan juga memaklumkan bahawa saingan Liga FAM adalah amat sengit, terutama apabila berdepan pasukan Liga FAM yang lain dari Semenanjung Malaysia yang rata-rata dibarisi pemain profesional, yang mempunyai penajaan jauh lebih besar.

Mengulas lanjut, Sharizan menerangkan bahawa pasukan Kuching kini dibintangi oleh pemain amateur yang hampir kesemuanya mempunyai pekerjaan selain daripada bermain untuk pasukan Kuching.

Keadaan ini menyukarkan masa latihan Kuching, dan sekaligus menyaksikan Kuching perlu melakukan beberapa kompromi seperti mengadakan latihan hanya pada sebelah petang, bagi membolehkan pemain mereka terus bekerja.

Sungguhpun demikian, Sharizan menekankan bahawa biarpun pasukan Kuching adalah terdiri daripada pemain amateur, namun semangat juang pemainnya amat tinggi, dan beliau serta semua di dalam pasukan akan memberikan persembahan terbaik pada musim akan datang.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top