Kuching FA mahu perlawanan play-off Liga Premier diadakan di Stadium Sarawak

Naib juara Liga M3, Kuching FA telah menyatakan mereka mahu perlawanan play-off Liga Premier di antara Sarawak FA dan Kuching FA diadakan di Stadium Sarawak.

Menurt kenyataan ringkas pasukan tersebut di laman Facebook miliknya, Kuching FA akan memohon kepada pihak Malaysia Football League (MFL) agar perlawanan tersebut diadakan di Stadium Sarawak.

Ini selepas hadirnya maklumat bahawa perlawanan berkemungkinan akan diadakan di venue berkecuali.

Menurut Kuching, mengadakan perlawanan di Stadium Sarawak membawa banyak kelebihan kepada kedua-dua pasukan, khususnya selepas Kuching mengharungi 13 perlawanan di tempat lawan yang mana telahpun melibatkan kos pengangkutan dan penginapan yang tinggi.

Tambah Kuching, mengadakan perlawanan di Stadium Sarawak akan menjimatkan kos pengangkutan dan penginapan kedua-dua pasukan.

Ini ditambah pula dengan hakikat bahawa kedua-dua pasukan bertapak di Kuching dan telah menjadikan Stadium Sarawak sebagai venue utama sepanjang liga masing-masing.

Kuching juga mendakwa bahawa jika perlawanan tersebut diadakan di Stadium Sarawak, peminat kedua-dua pasukan boleh hadir ke venue perlawanan dan menyaksikan perlawanan tersebut secara langsung.

Kuching dan Sarawak kedua-duanya akan bertembung hujung minggu depan selepas pasukan Sarawak menduduki tangga ke-11 di dalam Liga Premier, dan Kuching mengakhiri musim sebagai naib juara Liga M3.

Kedudukan liga kedua-dua pasukan secara automatis mengesahkan pertembungan pasukan ‘adik’ dan ‘abang’ ini bagi merebut satu slot untuk ke Liga Premier menerusi perlawanan play-off.

MFL telah mengesahkan perlawanan tersebut akan diadakan sekiranya Kuching boleh membuktikan kestabilan kewangan pasukan tersebut.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top