Demi memperkasakan cabaran di Liga Premier 2020, pendatang baharu Kuching FA bersikap terbuka dalam soal pemilihan pemain dan bersedia merekrut pemain dari luar Sarawak terutama dari Semenanjung Malaysia.

Menurut Presiden Kuching FA, Fazzrudin Abdul Rahman, ramai pemain termasuk yang memiliki pengalaman luas beraksi di pentas Liga Super dan Liga Premier telah menyatakan minat untuk beraksi dengan Kuching FA.

Bagaimanapun, Kuching FA mengambil pendekatan berbelanja mengikut kemampuan yang ada selain memberikan ruang kepada bakat-bakat baharu terutama yang berasal dari Kuching.

“Kami bersifat terbuka malah mendapat maklum balas ramai pemain daripada semenanjung yang menyatakan keinginan untuk datang ke Kuching dan mereka telah kami hubungi untuk datang pada sesi pemilihan yang akan bermula daripada 10 hingga 14 Disember ini.

“Perbincangan dengan pihak jurulatih telah kami adakan dalam mengenal pasti bahagian yang perlu diperkuatkan dan beberapa nama besar yang begitu dikenali dalam liga bola sepak tempatan kami akan cuba dapatkan.

“Apa-apa sekalipun, kami akan bekerja di tahap bajet yang kami mampu serta mengambil pemain baharu di atas dasar keperluan sahaja, ” katanya.

Beliau ditemui pada Sesi Taklimat Khas bersama Malaysian Football League (MFL) pada Rabu dalam masa sama turut mengharapkan kepulangan semula seberapa ramai anak jati Sarawak bagi membantu Kuching FA.

Antara nama pemain yang menjadi perhatian Fazzrudin ialah bekas pemain PKNS FC dan Harimau Muda, Tommy Mawat Bada, serta bekas pemain Kuala Lumpur, Ashri Chuchu.

“Memang mereka berdua berada dalam senarai permintaan kami dan perbincangan rapi sedang dilakukan dalam membawa balik mereka ke Sarawak serta beraksi dengan Kuching FA.

“Dalam masa sama , kami tidak lupakan pemain-pemain dalam Liga Kuching, sesiapa yang berpotensi dan boleh pergi jauh dalam kancah bola sepak, mereka juga kami akan bawa dalam ujian pemilihan,” katanya.

Mengenai sasaran Kuching FA pada 2020, mereka jelas memasang impian besar apabila menyatakan mahu layak ke saingan Piala Malaysia serta cuba mencipta sejarah mara ke pentas suku akhir.

“Kuching FA ada meletakkan perancangan tertentu bagi tempoh 5 hingga 10 tahun dan bagi musim depan, cuma untuk musim depan kami mahu merasai saingan suku akhir Piala Malaysia, itu sasaran utama kami.

“Bagi Liga Premier, sesiapa sahaja sudah tentu mahu muncul juara, mungkin semangatnya seperti seorang juara tetapi kami mahu bersikap realistik dengan mahu kekal dalam saingan Liga Premier pada musim sulung kami di Liga Premier, ” katanya.